Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah mara ke pentas akhir Terbuka Denmark

Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah mara ke pentas akhir Terbuka Denmark

PETALING JAYA: Beregu badminton lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi YikAaron Chia-Soh Wooi Yik bakal berdepan pasangan handalan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri pada perlawanan akhir bagi merebut gelaran Terbuka Denmark di Obaekvej, Denmark, esok.

Dalam perjalanan ke pentas akhir, gandingan No. 4 dunia itu mengejutkan beregu No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan 21-14, 21-18 dalam masa 38 minit pada separuh akhir di SJF Bank Arena.

Kemenangan tersebut menyaksikan Aaron-Wooi Yik kembali mengikat Won Ho-Seo Seung dengan rekod pertemuan 3-3.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada final, Fajar-Fikri yang merupakan beregu No. 3 dunia menanti Aaron-Wooi Yik dengan rekod pertemuan 2-2 menjadi bekalan kedua-dua gandingan.

Bagaimanapun, dalam dua pertembungan terakhir iaitu di Terbuka Malaysia, Januari lalu dan Jelajah Dunia Akhir BWF, Disember tahun lepas berpihak kepada Aaron-Wooi Yik.

Walaupun memiliki kelebihan psikologi, tetapi, dalam tempoh selepas Terbuka Malaysia, Fajar-Fikri mempamerkan peningkatan cukup ketara sehingga berjaya memintas ranking dunia beregu negara itu.

Turut menjejakkan kaki ke perlawanan akhir ialah Pearly Tan-M. Thinaah yang tidak berdepan masalah menewaskan beregu muda China, Bao Li Jing-Cao Zi Han yang berada di tangga ke-30 dunia 21-16, 21-14 dalam masa 37 minit.

Beregu wanita No. 4 dunia itu yang memburu gelaran kedua, musim ini, akan menghitung pertemuan dengan pasangan muda Jepun sama ada gandingan Hinata Suzuki-Nao Yamakita atau Sumite Nakade-Miyu Takahashi.

Sementara itu, beregu campuran Malaysia, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing terkandas di separuh akhir selepas terpaksa akur kepada gandingan No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China 13-21, 13-21 dalam masa 36 minit. – UTUSAN

Scroll to Top