Wanita 23 tahun ditahan, bantu siasatan penemuan mayat bayi tidak sempurna

Wanita 23 tahun ditahan, bantu siasatan penemuan mayat bayi tidak sempurna

am@hmetro.com.my

Hulu Terengganu: Polis menahan wanita berusia 23 tahun bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat bayi tidak sempurna dalam longkang di kawasan Perumahan Padang Setengge, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, suspek ditahan jam 3.30 petang tadi, selepas siasatan mengenai kelahiran bayi itu mendedahkan pembabitannya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati hanya sebahagian anggota badan bayi itu ditemui, dan jantinanya juga belum dapat dipastikan, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Unit forensik Jabatan Siasatan Jenayah (D10) dan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu turut membantu siasatan di lokasi kejadian.

“Bedah siasat sudah dijalankan, namun punca sebenar kematian belum dapat dikenal pasti kerana keadaan mayat tidak sempurna, termasuk ketiadaan sebahagian anggota badan dan organ dalaman,” katanya.

Sharudin berkata, suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, kerana menyembunyikan kelahiran.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Media hari ini melaporkan mayat bayi yang dijumpai di kawasan Perumahan Padang Setengge, semalam masih belum diketahui jantina dan kewarganegaraan selepas bedah siasat dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top