Pedagang rumah 'busuk'

Pedagang rumah 'busuk'

am@hmetro.com.my

Sebut mengenai ‘rumah busuk’, rumah tinggal atau terbiar, pasti ramai yang mengaitkannya dengan unsur mistik selain terasa geli untuk menjejakkan kaki ke dalamnya kerana kotor serta berbau.

Mana tidaknya, ada rumah terbabit yang sudah jadi sarang penagih dadah selain sasaran kumpulan paranormal untuk memburu entiti misteri pada malam hari berikutan tidak berpenghuni.

Bagi ejen perunding hartanah, keadaan itu cabaran besar buat mereka kerana bukan mudah meyakinkan bakal pembeli untuk membeli rumah sebegitu terutama jika kediaman terbabit dikaitkan dengan kisah mistik atau dikenali sebagai lokasi kematian tragis.

Meskipun begitu, wujud segelintir ejen yang memandang ‘rumah busuk’ sebagai lubuk emas kerana menjadi punca rezeki mereka, malah ada yang sanggup membeli dan mendiami kediaman itu selepas diubah suai.

Ikuti perkongsian mereka dan penyanyi terkenal, Aiman Tino yang turut memilih ‘rumah busuk’ sebagai kediaman pertamanya.

Puchong: “Rumah busuk pun nak jual ke?”

Itu soalan sinis pernah diterima Nurul Izzah Kamaruzaman yang mencari rezeki sebagai perunding hartanah apabila dia cuba menjual ‘rumah busuk’ atau tercemar dan terbiar.

Meskipun begitu, sudah empat tahun Nurul Izzah, 25, bertahan dengan kerjaya itu bukan hanya kerana pulangan lumayan, tetapi juga kepuasan selepas dapat membantu pemilik menjual rumah yang sudah lama ditinggalkan.

Berkongsi pengalamannya, Nurul Izzah berkata, rumah terbiar lazimnya kotor dan mempunyai banyak kerosakan namun selepas menjadi perunding hartanah, dia sedar kediaman sebegitu masih bernilai, malah ada peminatnya yang tersendiri.

Buktinya Nurul Izzah pernah menjual banglo yang sudah lama terbiar pada harga RM800,000.

Bagaimanapun dia bukan hanya menjual, malah turut membeli rumah terbiar jenis teres dua tingkat di Rawang, Selangor selepas enam bulan menjadi perunding hartanah.

Rumah dilengkapi dua bilik dan satu tandas itu kemudian diubah suai sebelum didiaminya bersama keluarga.

“Saya uruskan proses beli jual (rumah busuk dan terbiar), jadi kemudian cabar diri beli kerana nak merasai pengalaman itu.

“Saya beli dengan harga RM120,000. Keadaan rumah teruk kerana lampu sudah malap, ada bahagian dapur bocor dan simen pun keras kerana terbengkalai waktu diubah suai.

“Awalnya tak rancang nak duduk (menetap) tapi selepas diubah suai dengan kos RM70,000, saya tinggal di situ dan rezeki apabila dapat jual selepas tiga tahun menetap di rumah berkenaan,” katanya.

Bercerita lanjut, Nurul Izzah berkata, keluarga tidak menghalang kerjayanya, begitu juga suami, Muhammad Ekhram Othman, 31, yang memahami kerana turut bekerja sebagai perunding hartanah.

Satu lagi pengalaman tidak dapat dilupakan Nurul Izzah ketika mengendalikan urusan jual beli ‘rumah busuk’ di Negeri Sembilan.

Menurutnya, dia difahamkan pemilik asal meninggal dunia di dalam rumah terbabit.

“Rumah sudah lama terbiar, jadi waris dapatkan khidmat saya untuk bantu menjual aset berkenaan.

“Jadi macam biasa saya pergi meninjau terlebih dahulu rumah berkenaan.

“Selesai semuanya, saya pulang ke rumah dan waktu tidur, saya mimpi pemilik asal. Dalam mimpi itu, dia minta jualkan rumahnya.

“Daripada situ, saya dapat rasakan mimpi itu panggilan untuk bantu pemilik.

“Banyak lagi kisah lain sebenarnya.

“Setiap rumah ada kisah tersendiri dan antara sebab saya suka kendalikan urusan jual beli ‘rumah busuk’ kerana dapat banyak belajar perkara baharu termasuk berkaitan cara menjual dan bagaimana proses faraid pembahagian pusaka,” katanya.

Di sebalik cabaran dilalui, Nurul Izzah bersyukur kerana berpeluang menjadi perunding hartanah ‘rumah busuk’.

“Waktu awal dulu, tiada wanita buat kerja ini kerana prosesnya rumit, malah ejen lelaki pun tak sanggup.

“Hakikatnya pemilik rumah atau waris mencari ejen yang boleh membantu mereka menjual rumah selepas bertahun terbiar.

“Niat saya buat video di TikTok untuk beri kesedaran kepada mereka yang menonton supaya jangan dibiar rumah terbiar lama kerana boleh ganggu jiran, menyebabkan adanya anai-anai dan menjadi sarang penagih,” katanya.

‘Yang tak faham mungkin kata saya gila’

Johor Bahru: “Mereka yang tak faham mungkin akan kata saya gila kerana nak jual rumah dalam keadaan sebegitu.

“Hakikatnya rumah seperti itu lubuk emas buat ejen dan hanya orang tertentu yang nampak ia sebagai peluang jana pendapatan,” kata Muhamad Shahid Noordin.

Muhamad Shahid, 33, bekerja sepenuh masa sebagai perunding hartanah sejak hampir enam tahun lalu.

Antara pengalaman menariknya berjaya menjual kediaman teres asalnya ‘rumah busuk’ pada harga RM500,000.

“Pengalaman pertama saya jejakkan kaki ke sebuah ‘rumah busuk’ tiga tahun lalu dan berurusan dengan seorang wanita yang mahu menjual rumah.

“Difahamkan, suami wanita itu meninggal dunia dalam rumah dan ia sudah terbiar selama lima tahun.

“Di dalam rumah itu, ada perabot lama dan bangkai kucing, mungkin sebab sudah lama ditinggalkan tapi tak ada penemuan entiti pun, cuma aura itu (seram) memang ada,” katanya.

Lazimnya Muhamad Shahid yang juga pencipta kandungan di TikTok akan datang menjenguk keadaan rumah dengan ditemani rakan yang juga juruvideo.

Ada waktunya dia datang bersama isteri namun tidak dibawa masuk dan hanya menunggu di kereta.

“Jujurnya perasaan takut itu memang ada setiap kali ke rumah busuk atau yang sudah lama ditinggalkan tapi takut itu saya letak paling akhir.

“Rumah paling teruk saya urus dan jual di Senai, Johor dua tahun lalu. Ia rumah teres setingkat dan sudah ditinggalkan 15 tahun sejak pemiliknya berhijrah ke Kuala Lumpur.

“Apa yang berlaku, pokok tumbuh dalam rumah iaitu pada bahagian dapur dan waktu pasukan kontraktor nak bersihkan, mereka diganggu selepas terdengar bunyi menakutkan.

“Pekerja terbabit demam seminggu tak datang kerja. Kemudian saya panggil ustaz untuk bantu dan Alhamdulillah, kerja pembersihan dapat disiapkan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak akan bercerita sejarah rumah kepada bakal pembeli, namun mereka yang mengikuti perkongsiannya di media sosial akan tahu jenis rumah dijual.

Cabaran Muhamad Shahid meyakinkan bakal pembeli dan berurusan dengan karenah manusia.

“Untuk yakinkan pembeli, saya kena beri gambaran kepada mereka sebelum bawa menjenguk rumah.

“Ia kerana ada yang bila datang tengok (rumah), mereka berat hati nak beli kerana tak sama dengan apa dilihat dalam gambar.

“Itu perkara biasa, malah disebabkan banyak berkongsi video ‘rumah busuk’ di media sosial, ada warganet bertanya sama ada saya ejen rumah atau terbabit dalam aktiviti paranormal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top