KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta terkemuka, IHH Healthcare Malaysia memperluas kapasiti Gleneagles Hospital Johor (GHJ) susulan pengambilalihan Afiniti Wellness di Medini, Iskandar Puteri yang akan dibangunkan sebagai Pusat Penjagaan Ambulatori (ACC).
ACC bakal menyediakan perkhidmatan konsultasi pakar, diagnostik, pembedahan harian dan rawatan pesakit luar, sekali gus meningkatkan akses pesakit kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan serta membolehkan hospital utama memberi tumpuan kepada pesakit yang memerlukan rawatan lebih kompleks dan berintensiti tinggi.
Pengembangan ini merupakan sebahagian daripada perancangan pembangunan kampus penjagaan kesihatan bersepadu seluas kira-kira 18 ekar di Medini, yang merangkumi GHJ, Afiniti Wellness dan pembangunan kemudahan penjagaan kesihatan pada masa hadapan.

Penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta terkemuka, IHH Healthcare Malaysia memperluas kapasiti Gleneagles Hospital Johor (GHJ)
Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Dr Kamal Amzan berkata, pelaburan jangka panjang itu bertujuan memenuhi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan seiring pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Jelas beliau, ia sekali gus berpotensi mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi penjagaan kesihatan serantau.
“GHJ telah menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada penduduk Johor lebih dari 10 tahun, malah fasiliti kami lebih dekat dengan tempat tinggal mereka. Fasiliti sedia ada GHJ sekitar 300 katil, tidak lama lagi ada tambahan 300 katil menjadikannya 600 katil.
“Selain itu, GHJ membawa tenaga pakar dan teknologi perubatan canggih dan turut merawat pesakit dari Singapura serta rantau sekitarnya.

Dr Kamal Amzan. FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB.
“Dengan pengembangan ini, GHJ akan terus memainkan peranan pada skala dan tahap yang lebih besar. IHH Healthcare komited terhadap usaha ini dan kami percaya pelbagai peranan boleh dimainkan dalam memperkukuhkan kapasiti penjagaan kesihatan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika wawancara tertutup bersama Sinar Harian di St Regis Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Dr Kamal memaklumkan, pelaburan tersebut bukan sekadar memperluas kapasiti fizikal hospital, malah turut memperkukuh rangkaian kepakaran klinikal dan keupayaan IHH Healthcare Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa bukan keluasan tapak fasiliti baharu yang menjadi ukuran kejayaan, sebaliknya tumpuan terhadap akses atau kemudahan untuk pesakit menerima rawatan serba canggih menerusi ACC berhampiran tempat tinggal mereka.
“Ketika ini, GHJ memiliki lebih 100 pakar dan 1,200 golongan profesional penjagaan kesihatan dalam bidang kepakaran utama termasuk onkologi, kardiologi, ortopedik, neurosains serta kesihatan wanita dan kanak-kanak.
“Keupayaan klinikalnya merangkumi robot ‘da Vinci robotic-assisted surgery’, sistem penggantian sendi robotik, pemeriksaan imbasan Tomografi Pancaran Positron dan Tomografi Berkomputer (PET-CT), Pemecut Linear Elektra Versa HD (LINAC) dan banyak lagi.
“Insya-ALLAH fasa pembinaan bermula tidak lama lagi dan kemudahan ACC ini yang berhadapan bangunan GHJ dijangka beroperasi pada 2028,” ujar beliau.
IHH Healthcare Malaysia mengendalikan rangkaian hospital di bawah lima jenama utama, iaitu Gleneagles, Prince Court, Pantai, Island Hospital dan Timberland Medical Centre.
Dengan lebih 15,000 kakitangan dan 2,000 pakar perubatan di Malaysia, IHH Healthcare Malaysia menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menyeluruh, merangkumi penjagaan primer, rawatan pesakit luar, perkhidmatan pakar serta rawatan tertiari dan kuarterner, disokong oleh kemudahan diagnostik dan rehabilitasi.



