syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Konsert Tradisional Gema Bumantara oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, malam tadi sebagai satu persembahan indah yang berjaya mengangkat kekayaan warisan seni nusantara.
Beliau berkata, kehebatan persembahan penyanyi nombor satu negara itu terserlah apabila peminat tetap setia menyaksikan konsert berkenaan sehingga ke penghujung acara biarpun dalam suasana hujan.
“Walaupun hujan, semua yang hadir tetap setia hingga ke penghujung persembahan, hebat Datuk Seri Siti, hebat juga semangat peminatnya.
“Tahniah kepada Datuk Seri Siti dan seluruh pasukan produksi atas persembahan yang cukup istimewa dan penuh jiwa,” katanya menerusi satu hantaran di media sosialnya, hari ini.
Anwar menegaskan, beliau sentiasa percaya seni dan budaya amat dekat di hati rakyat Malaysia, sekali gus menuntut warisan berkenaan terus dihidupkan agar dapat dinikmati serta dicintai generasi muda.
“Negara terus kita pacu maju, akar budaya dan jati diri bangsa tetap kita pelihara,” katanya.
Terdahulu, Siti mengalu-alukan kehadiran Anwar bersama dif-dif kehormat lain di hadapan kira-kira 63,000 penonton yang hadir memeriahkan konsert tradisional terbesarnya itu.
“Terima kasih Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sudi turun padang saksikan konsert irama tradisional terbesar saya,” katanya selepas membuat persembahan duet bersama penyanyi undangan, Haziq Rosebi.
Anwar duduk bersebelahan suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dengan masing-masing mengenakan baju hujan berikutan cuaca tidak menentu sepanjang konsert.
© New Straits Times Press (M) Bhd




