Hong Kong: Polis Hong Kong melahirkan kebimbangan susulan lebih 110 laporan transaksi kad kredit tanpa kebenaran selepas prapesanan model baharu iPhone dibuka dengan pihak berkuasa mendakwa Apple tidak mengaktifkan ciri keselamatan tambahan bagi mencegah penipuan berulang.
Pihak berkuasa mengesahkan penduduk mula melaporkan transaksi kad kredit mencurigakan bagi model boleh lipat iPhone Duo selepas prapesanan dalam talian dibuka pada jam 8 malam, Jumaat.
Memetik laporan South China Morning Post, transaksi tertinggi yang dilaporkan bernilai 229,788 dolar Hong Kong (kira-kira RM120,000) iaitu bersamaan harga kira-kira 12 unit iPhone Duo.
Menurut polis, lebih 110 laporan itu membabitkan transaksi keseluruhan bernilai 4.6 juta dolar Hong Kong (kira-kira RM2.4 juta) menggunakan kad kredit yang dikeluarkan oleh pelbagai bank.
Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes disyaki memperoleh harta secara tipu.
Ini kali kedua dalam tempoh lebih sebulan pelancaran iPhone dicemari laporan penipuan.
Polis memaklumkan pihaknya masih menyiasat 1,572 laporan transaksi kad kredit mencurigakan membabitkan siri iPhone 18 Pro yang dibuka untuk prapesanan pada 12 September lalu dengan jumlah transaksi melebihi 31 juta dolar Hong Kong (kira-kira RM16.1 juta).
Pegawai Kanan Inspektor Lo Chun-kong daripada Biro Jenayah Siber dan Teknologi Maklumat, Bahagian Jenayah Teknologi berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.
Menurutnya, pihak berkuasa sudah menghubungi Apple sejak September bagi membincangkan langkah percegahan.
Syarikat itu turut melaksanakan beberapa inisiatif termasuk menyemak dan mengemas kini model risiko penipuan dalaman serta memperketat pemantauan transaksi.
Bagaimanapun, Chun-kong berkata, Apple memutuskan untuk tidak mengaktifkan sistem 3D Secure (3DS) yang membantu mengesahkan identiti pembeli ketika transaksi dalam talian walaupun polis berulang kali menggesa syarikat itu berbuat demikian.
Katanya, polis amat bimbang dengan kegagalan Apple mengambil tanggungjawab korporat secara proaktif sekali gus membuka ruang kepada penjenayah untuk melakukan penipuan.
Dalam maklum balas kepada pertanyaan media pada Sabtu, Apple memaklumkan semua pesanan iPhone Duo sedang disemak sebelum diproses bagi mengenal pasti dan membatalkan transaksi penipuan dengan segera.
Sementara itu, bank tempatan seperti HSBC mengesahkan pihaknya akan menyiasat dan membatalkan secar automatik sebarang transaksi berganda atau palsu manakala pakar teknologi maklumat pula menggesa Apple mengaktifkan 3DS sepenuhnya secepat mungkin bagi menyekat transaksi penipuan dari peringkat awal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




