syafiq.aznan@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kemenangan 3-1 Selangor FC (SFC) ke atas Penang FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bukan sekadar mengutip tiga mata Liga Super, sebaliknya melengkapkan satu ‘kitaran sejarah’ penuh bermakna buat kelab berkenaan.
Secara kebetulan, perlawanan sulung skuad Gergasi Merah dalam sejarah penganjuran bola sepak negara pada tahun 1921 adalah menentang Penang di Padang Kelab Selangor yang menyaksikan mereka menang 5-1.
Selepas 105 tahun, takdir sekali lagi mempertemukan kedua-dua pasukan untuk aksi ke-2,000 Selangor yang diiringi kemenangan yang melonjakkan mereka ke tangga kedua carta liga.
Pengendali SFC, Kim Pan Gon tidak dapat menyembunyikan rasa bangga dan menyifatkan kejayaan itu sebagai hadiah paling bernilai buat seluruh penyokong tegar Selangor.
“Saya rasa apa yang dipamerkan oleh pemain adalah sangat luar biasa. Saya amat menghargai kerja keras semua pemain untuk memberikan persembahan terbaik dan keputusan cemerlang ini.
“Lebih-lebih lagi, ini adalah perlawanan ke-2,000 pasukan. Ia sangat bermakna kerana kita menang menentang Penang, sama seperti perlawanan pertama kita 105 tahun lalu.
“Kini pada aksi ke-2,000, kita sekali lagi menewaskan Penang. Ini hadiah terbaik buat penyokong dan saya sangat bangga dengan persembahan anak buah saya,” katanya pada sidang media sejurus perlawanan.
Mengulas lanjut mengenai perjalanan aksi berkenaan, bekas pengendali Harimau Malaya itu menjelaskan gol pembukaan pada minit ke-11 menjadi kunci utama memecah benteng ampuh Harimau Kumbang.
“Gol pertama itu sangat penting kerana Penang terkenal dengan sistem pertahanan yang sangat kompak. Gol kedua pula mengurangkan tekanan ke atas bahagian pertahanan kami.
“Saya tegaskan kepada pemain, kita tidak boleh beraksi secara pasif sebaliknya perlu sentiasa agresif dan kekal kuat sepanjang 90 minit. Dalam saingan liga, setiap mata amat berharga dan kita tidak boleh kehilangan tiga mata,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




