sukan@hmetro.com.my
Sungai Petani: Beraksi dengan hanya tiga pemain tanpa simpanan tidak menghalang Highlander A daripada mencipta kejutan apabila mara ke final Zon Utara Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 di The Arena of Sport, di sini.
Skuad kendalian Muhammad Faizal Izwan itu menamatkan saingan sebagai naib juara selepas tewas kepada ALFA Cafe MIBJ D pada aksi final, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.
Lebih membanggakan, Highlander A terlebih dahulu menyingkirkan antara pasukan pilihan, SSTMI, pada aksi separuh akhir untuk mengesahkan kemaraan ke final walaupun berdepan kekangan pemain.
Faizal berkata, kejayaan mara ke final sudah memenuhi sasaran awalnya, malah beliau berpuas hati apabila pemain berjaya melaksanakan perancangan dan taktikal yang disusun untuk menghadapi SSTMI.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Perak, pentadbir dan juga ahli di Hilir Perak. Sebenarnya sasaran saya cuma ke separuh akhir.
“Mereka berjaya menepati rancangan dan taktik yang saya sediakan untuk menentang SSTMI. Pada set ketiga, kami berjaya mendapatkan momentum sebelum melangkah ke final,” katanya.
Bagaimanapun, perjalanan Highlander A bukan mudah apabila pasukan itu kehilangan seorang pemain akibat kecederaan patah tangan ketika menyertai Liga KPM sebelum ini.
Menurut Faizal, beliau pada asalnya mendaftarkan lima pemain untuk kejohanan berkenaan, namun kecederaan itu menyebabkan tidak dapat membawa pemain terbabit ke Kedah.
Lebih mengecewakan, pemain berkenaan turut menjadi sebahagian daripada skuad yang menjuarai Liga Super bawah 16 tahun dalam saingan Liga KPM sebelum ini.
“Sepanjang perjalanan untuk ke final memang sangat susah. Dugaan pertama apabila seorang pemain saya patah tangan ketika Liga KPM dan saya sangat kecewa kerana tidak dapat membawanya ke sini.
“Namun, saya membawa semangatnya bersama kami dan alhamdulillah pemain yang ada berjaya melangkah ke final untuk mewakili Zon Utara,” katanya.
Kekurangan pemain turut menguji keupayaan Faizal mengendalikan pasukan apabila perlawanan berlangsung serentak di empat gelanggang, sekali gus memaksanya berulang-alik bagi memantau aksi anak buahnya.
Katanya, cabaran itu mula dirasai sejak peringkat suku akhir apabila kedua-dua pasukannya beraksi di gelanggang kedua dan keempat, menyebabkan beliau perlu berlari antara kedua-duanya untuk memberikan perhatian kepada pemain.
“Kesukaran itu saya rasai sejak suku akhir apabila kedua-dua pasukan saya bermain di gelanggang kedua dan keempat. Saya terpaksa berlari dari gelanggang kedua ke gelanggang keempat.
“Alhamdulillah, gelanggang kedua membawa tuah kepada saya apabila pasukan berjaya menewaskan SSTMI pada separuh akhir,” katanya.
Walaupun gagal membawa pulang gelaran juara, Faizal tidak mahu anak buahnya berasa kecewa terlalu lama, sebaliknya mahu menggunakan baki masa sebelum Grand Final untuk memperkemaskan persiapan.
Katanya, beberapa kejohanan akan disertai sebagai persediaan, manakala pemain lain turut disiapkan untuk beraksi pada saingan Zon Timur.
“Insya-Allah, untuk Grand Final nanti saya akan cuba melakukan yang lebih baik. Kami masih mempunyai masa kira-kira sebulan dan ada beberapa kejohanan yang boleh disertai sebagai persediaan.
“Bagi Zon Timur, kami juga sudah menyediakan beberapa pemain untuk bertanding. Pemain yang beraksi di sini berjaya memenuhi sasaran untuk ke Grand Final, manakala pemain lain akan beraksi di Zon Timur,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




