36 mangsa banjir Pulau Pinang terima bantuan awal

36 mangsa banjir Pulau Pinang terima bantuan awal

Bukit Mertajam: Bantuan awal termasuk kit banjir disalurkan kepada 36 orang daripada 10 keluarga mangsa bencana itu di Kampung Kubang Semang, di sini, yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Penanti.

Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Datuk Kamarul Haizal Koderat berkata, kesemua mangsa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air susulan hujan lebat kira-kira 2.30 petang semalam.

“Sebanyak empat bilik darjah digunakan bagi menempatkan mangsa manakala bantuan awal seperti kit banjir dan bantuan lain juga telah diberikan.

“Setakat ini, hanya satu kawasan melibatkan pemindahan iaitu Kampung Kubang Semang. Banjir turut berlaku di Kampung Mengkuang Titi, namun keadaannya terkawal dan tidak memerlukan pemindahan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PPS berkenaan hari ini.

Kamarul Haizal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah SPT berkata pemantauan berkala dilakukan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) , Pejabat Daerah dan Tanah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Sukarelawan.

– LAGI

BANJIR-BANTUAN 2 (AKHIR) BUKIT MERTAJAM

Seorang mangsa banjir, Ab Ghani Abdullah, 49, berkata dia bergegas pulang dari kampungnya di Perlis selepas dimaklumkan rumah sewanya dinaiki air.

“Saya pulang ke kampung bersama-sama isteri dan dua anak pada Jumaat. Saya berasa tidak sedap hati melihat keadaan cuaca di sini, jadi kereta sudah dipindahkan ke tempat tinggi tetapi motosikal tidak sempat dipindahkan.

“Petang semalam, pihak MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) telefon beritahu rumah dinaiki air. Saya tiba di sini kira-kira 10 malam tetapi tidak dapat masuk ke rumah kerana air belum surut. Kami kemudian terus mendaftar di PPS,” katanya menambah rumahnya ditenggelami banjir hingga paras pinggang.

Ab Ghani berkata rumahnya sememangnya kerap dinaiki air sepanjang enam tahun menetap di situ dan tahun ini sudah empat kali dilanda bencana itu.

Seorang lagi mangsa, Khairun Najwa Md Noor, 37, berkata banjir kali ini merupakan kejadian kedua dalam tempoh lebih sebulan.

Pengurus kilang itu berkata kejadian semalam menyebabkan air naik dengan cepat sehingga hampir mencecah paras pinggang.

“Banjir sebelum ini sampai paras lutut, kerja mengemas pun belum selesai dan semalam air naik lagi. Memang penat berganda,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top