Tahanan rumah Najib: Jabatan Penjara dalam fasa akhir gubal peraturan

Tahanan rumah Najib: Jabatan Penjara dalam fasa akhir gubal peraturan

am@hmetro.com.my

Besut: Jabatan Penjara Malaysia dalam proses fasa akhir penggubalan peraturan dan syarat pelaksanaan tahan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jabatan Penjara adalah pelaksana kepada keputusan Lembaga Pengampunan sudah menerima surat daripada urus setia lembaga berkenaan yang menyatakan keputusan serta syarat-syarat berkaitan.

“Peraturan khusus berhubung tahanan rumah perlu digubal kerana mekanisme itu belum pernah dilaksanakan sebelum ini dan secara tiba-tiba akan dilaksanakan.

“Sekarang, proses penggubalan itu berada pada fasa akhir,” katanya kepada pemberita pada program Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Felda Tenang, di sini, hari ini.

Katanya, dalam surat urus setia Lembaga Pengampunan kepada Jabatan Penjara turut dinyatakan bahawa jabatan itu boleh menetapkan apa-apa syarat yang bersesuaian.

Menurut beliau, Najib masih belum membuat bayaran RM50 juta dan masih meneruskan hukuman di penjara.

Saifuddin Nasution berkata, tugas Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya Jabatan Penjara menyediakan peraturan bagi memastikan pelaksanaan tahanan rumah dapat dipandu oleh syarat yang jelas.

“Itu yang saya boleh komen buat masa ini,” katanya.

Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-64. Sebelum ini, Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas sabitan dalam kes SRC International dikekalkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top