Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming memuji tindakan seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang mengkritik kutipan derma bagi membantu Datuk Seri Najib Razak membayar denda mahkamah berjumlah RM50 juta.
Suara anak muda tolak rasuah
Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, beliau menyifatkan kenyataan mahasiswa berkenaan sebagai manifestasi suara golongan muda yang menolak rasuah dan berpandangan pendirian itu wajar disokong.
“Saya nak puji mahasiswa kita. Ini suara rakyat, suara mahasiswa, suara generasi muda kita dan kita patut sokong.
“Saya juga menyambut baik keputusan pihak UM yang tidak akan menghukum mahasiswa tersebut, yang berjaya membawa suara rakyat apabila berkata perkara paling bodoh yang dia pernah lihat ialah apabila ada yang sudi derma kepada penyakau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak Ke-24 yang dirasmikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Masyarakat perlu fikir mesej disampaikan mahasiswa
Dalam pada itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkenaan juga menyatakan tindakan mengagungkan individu yang dikaitkan dengan rasuah boleh memberikan mesej yang salah kepada generasi muda.
Tegasnya, masyarakat perlu memikirkan mesej yang disampaikan kepada anak-anak dan generasi akan datang sekiranya individu yang terlibat dalam perlakuan rasuah terus mendapat pembelaan.
“Bayangkan apabila ada geng penyakau, memuja rasuah sehingga rasuah menjadi penyakit barah, mereka dijadikan bahan pujaan bukannya cemuhan. Adakah kita hendak menghantar mesej bahawa rasuah adalah kerjaya, bukan jenayah?
“Jangan biar mereka ini berkuasa di negara kita. Sebab itu Pakatan Harapan (PH) kena menang, wajib menang untuk kita selamatkan negara ini daripada geng-geng penyakau,” katanya.

Terdahulu, tular video seorang mahasiswa UM yang mengkritik tindakan orang ramai mengumpul derma bagi membantu Najib membayar denda mahkamah sebanyak RM50 juta.
Mahasiswa wanita itu turut meluahkan kebimbangan terhadap gejala rasuah serta mempersoalkan pendirian yang sepatutnya diambil oleh pemimpin masa depan dalam isu berkenaan.
Sumber: Utusan Malaysia (Sayed Hesham Idris)




