Shah Alam: Muamalat Bullets membuktikan status mereka sebagai kuasa besar ragbi korporat apabila menewaskan MBSA Blue Pelican 17-6 pada aksi final Corporate Super Rugby Championship (CSR) 2026, sekali gus merangkul kejuaraan ketiga dalam tempoh empat musim.
Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas Bullets menebus kekalahan kepada Blue Pelican pada peringkat liga, sekali gus memadam rekod tanpa kalah lawan mereka yang hadir ke final dengan keyakinan tinggi.
Ketika Blue Pelican mengharapkan rekod cemerlang itu mampu diteruskan hingga ke pentas final, Bullets tampil lebih tenang dan berdisiplin untuk mengawal permainan sebelum memastikan trofi kejuaraan menjadi milik mereka.
Pemain forward Bullets, Muhammad Danial Hamidi menjadi watak penting apabila mencetak satu-satunya try pasukannya, sekali gus dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) perlawanan.
Mohamad Faris Pead dan Muhammad Nafis Salleh turut memainkan peranan penting menerusi dua penalti setiap seorang yang menyumbang 12 mata tambahan untuk Bullets.
Gabungan mata itu membolehkan Bullets mengekalkan kelebihan sehingga wisel penamat untuk mengesahkan kemenangan 17-6, selain membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 selaku juara.
Bagi Blue Pelican, kekalahan itu tidak memadam pencapaian membanggakan mereka dalam musim sulung apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang peringkat liga sebelum melangkah ke final.
Enam mata pasukan itu disumbangkan tonggak utama, Mohammad Nazreen Fitri, yang turut dinobatkan sebagai Penjaring Mata Terbanyak kejohanan.
Blue Pelican membawa pulang RM8,000 selaku naib juara, manakala ATM Vanguard menamatkan saingan di tempat ketiga selepas menewaskan Ragbi PDRM 40-10 dalam aksi penentuan pingat gangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




