am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB), Soh Kim Seah, 90, yang bersara pada 1986, teruja dan sukar melelapkan mata apabila dimaklumkan bakal menerima kunjungan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, hari ini.
“Saya dihubungi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Selasa lalu, dan dimaklumkan akan dikunjungi Wan Ahmad Dahlan.
“Saya juga sukar melelapkan mata malam tadi kerana teruja akan dikunjungi beliau (Wan Ahmad Dahlan),” kata Kim Seah ketika ditemui di kediamannya di Jalan Air Jernih, di sini, hari ini.
Pada program Ziarah Pesara itu, Wan Ahmad Dahlan meluangkan masa kira-kira 45 minit berbual dengan Kim Seah.
Turut mengiringi Wan Ahmad Dahlan adalah Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif.
Kim Seah berkata, dia turut meminta isteri, Phua Siew Hong, 84, yang juga pesara guru dan anak mereka, Soh Lay Liew, 56, menyediakan juadah bagi menyambut kunjungan Wan Ahmad Dahlan dan rombongan.
Selain menziarah keluarga berkenaan, Wan Ahmad Dahlan turut menyantuni dua lagi pesara iaitu Mohd Saadun Che Embong, 69, serta Rosnani Abdullah, 73, yang berkhidmat di Jabatan Pertanian negeri serta anak Rosnani iaitu Ayuffeirah Mislan, 42.
Pada program itu, pesara turut menerima bakul makanan, wang serta sijil khas.
Sementara itu, Wan Ahmad Dahlan berkata, program Ziarah Pesara membuktikan bahawa Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mengabaikan pesara.
Katanya, kerajaan melalui Belanjawan 2027 mengumumkan bantuan khas kewangan RM750 kepada semua pesara.
“Bantuan khas kewangan seperti diumumkan Anwar yang juga Menteri Kewangan adalah lebih tinggi jika dibandingkan beberapa tahun lalu dan ia membuktikan bahawa Perdana Menteri tidak pernah mengabaikan pesara.
“Tujuan program Ziarah Pesara ialah untuk menyantuni pesara yang mungkin memerlukan keperluan khusus termasuk kerusi roda dan makanan asas bagi mengurangkan sedikit bebanan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




