Jubli emas MENTION UKM lakar sejarah, himpun 300 alumni

Jubli emas MENTION UKM lakar sejarah, himpun 300 alumni

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Bangi: Sambutan Jubli Emas Pengajian Media (MENTION), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melakar sejarah apabila menghimpunkan kira-kira 300 alumni yang pernah mengikuti pengajian media dan komunikasi di universiti berkenaan sejak 1976.

Ulang tahun ke-50 itu diadakan di Dewan Perdana di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), di sini semalam dan turut menyaksikan pelancaran buku khas dan Tabung Jubli Emas MENTION UKM yang menyasarkan sumbangan RM50,000 daripada warga alumni.

Penganjuran acara sambutan itu menandakan lima dekad perjalanan pengajian media di UKM ini yang bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan antara alumni, warga akademik dan generasi baharu malah mencerminkan sumbangan bidang media dan komunikasi dalam melahirkan tenaga profesional, pemimpin industri serta pengamal media yang berwibawa.

Pro Naib Canselor, Strategi dan Kelestarian, Profesor Datuk Dr Roslee Rajikan berkata, pelancaran Tabung Jubli Emas MENTION UKM antara inisiatif penting untuk menggalakkan sokongan dan sumbangan alumni serta rakan strategik bagi memperkukuh pembangunan akademik, penyelidikan, kebajikan penuntut dan kecemerlangan Pusat Kajian MENTION UKM.

“Tabung ini turut diharapkan menjadi wadah yang menghubungkan kejayaan alumni dengan peluang pembangunan generasi penuntut masa hadapan.

“Selain itu, pelancaran buku khas Jubli Emas akan mendokumentasikan perjalanan, pencapaian dan perkembangan pengajian media di UKM sepanjang 50 tahun.

“Penerbitan buku itu juga diharap menjadi sumber rujukan yang merakamkan sejarah institusi, sumbangan tokoh akademik, pengalaman alumni serta perubahan landskap media dan komunikasi seiring dengan perkembangan teknologi dan pendigitalan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Roslee, sambutan jubli emas itu membawa makna yang lebih besar kerana bukan hanya meraikan usia penubuhan sebaliknya penghargaan terhadap sumbangan semua pihak yang membina reputasi pengajian media UKM dan membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama antara universiti, alumni dan industri media.

Beliau berkata, pertemuan alumni itu juga membuka peluang untuk perkongsian pengalaman, jaringan profesional dan penerokaan kerjasama baharu dalam menghadapi cabaran industri media yang semakin dinamik.

“Dalam era teknologi kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan perubahan corak penggunaan media, pengajian media dan komunikasi terus memainkan peranan penting dalam membentuk graduan yang bukan hanya kompeten dari segi profesional tetapi memahami kepentingan etika, kredibiliti, tanggungjawab sosial dan integriti dalam penyampaian maklumat.

“Sambutan Jubli Emas Pengajian Media UKM diharapkan menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh kedudukan MENTION UKM sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan dalam bidang media dan komunikasi di samping memastikan legasi lima dekad ini terus berkembang untuk manfaat generasi akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top