SHAH ALAM – Pernah hampir kehilangan nyawa selepas tercekik belon sehingga jantungnya terhenti, Uwais Al Fateh Muhammad Za’im kini berjuang untuk kembali berdiri dan berjalan seperti kanak-kanak lain.
Ibunya, Nurul Huda Zulkhairi berkata, anaknya yang sebelum ini aktif dalam sukan taekwondo, berenang dan seni lukisan, kini perlu menjalani pelbagai terapi bagi membantu proses pemulihan.
“Sebelum ini, Fateh pernah mewakili negeri dalam pertandingan taekwondo di Kelantan dan muncul johan meskipun baru menyandang tali pinggang putih.
“Dia juga pandai berenang, pernah mendapat tempat kedua dalam pertandingan sajak peringkat daerah, gemar memancing serta berbakat dalam seni lukisan.
“Sekarang Fateh terpaksa belajar balik semula dari awal. Belajar berdiri, belajar berjalan semua mula dari awal,” katanya.
Sinar Harian pada 25 Mei 2025 melaporkan, Fateh, 7, hampir kehilangan nyawa selepas tercekik belon ketika bermain di rumah semasa sambutan hari lahirnya pada 20 Mei tahun sama.
Nurul Huda sebelum ini menceritakan anaknya mengalami kesukaran bernafas sebelum muka membiru dan jantungnya terhenti.
Bapanya bersama seorang rakan yang merupakan doktor segera melakukan bantuan pernafasan dan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum Fateh dikejarkan ke hospital.
Kisah perjalanan Fateh kembali tular di media sosial yang memaparkan perbezaan ketara kehidupannya sebelum dan selepas diuji masalah kesihatan.
Rakaman itu turut memaparkan Fateh menggunakan alat bantuan berjalan menjalani fisioterapi dan terapi pertuturan.
Dalam pada itu, Nurul Huda berkata, pelbagai ikhtiar rawatan dilakukan bagi membantu pemulihan anaknya termasuk akupuntur, bekam, terapi hiperbarik, suntikan saraf, fisioterapi, terapi berkuda, carakerja dan mandi ais.
Perkembangan positif turut dilihat apabila keupayaan Fateh mengunyah semakin baik, selain fungsi tubuhnya menunjukkan peningkatan.
Kini, keluarga Fateh sedang berusaha mendapatkan dana bagi membolehkan kanak-kanak itu menjalani rawatan lanjutan MuseCell Therapy menerusi The Neorgana Advance Neuroregeneration Program di Yucatan, Mexico.
Rawatan regenerasi sel stem itu dianggarkan menelan belanja AS$20,500 atau sekitar RM85,000.



