Ejen hartanah 2 kali ditipu scammer

Ejen hartanah 2 kali ditipu scammer

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Malang berganda apabila dua kali menjadi seorang ejen hartanah menjadi mangsa penipuan scammer menyebabkan kerugian lebih RM79,000.

Menurut sumber, lelaki berusia 60-an itu pada mulanya ditipu RM60,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan.

“Pada hujung tahun lalu, dia kemudiannya ada melihat iklan perkhidmatan bantuan guaman di Facebook yang boleh membantu mendapatkan semula wang itu.

“Mangsa kemudiannya menghubungi peguam terbabit untuk mengetahui kaedah bagi mendapatkan semula wangnya,” katanya.

Sumber berkata, dia kemudiannya diberi nombor lain untuk dihubungi iaitu seorang lelaki yang akan membantunya.

“Selepas menghubungi lelaki itu, mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran proses guaman dan urusan terbabit.

“Dia membuat pembayaran sebanyak tiga kali iaitu lebih RM19,000 untuk proses mendapatkan semula wangnya,” katanya.

Bagaimanapun, selepas membuat pembayaran itu sehingga sekarang mangsa masih tidak mendapat semula wang ditipu sebelum ini malah mereka meminta bayaran tambahan lelaki.

“Apabila mangsa meminta semula wang dibayar sebelum ini, mereka enggan memberinya dengan pelbagai alasan.

“Mangsa yang ditipu sekali lagi kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Presint 11 pada Rabu lalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top