‘Buatlah apa kamu nak buat, untuk saya berundur tidak sama sekali’ – Akmal Saleh

‘Buatlah apa kamu nak buat, untuk saya berundur tidak sama sekali’ – Akmal Saleh

MELAKA – “Buatlah apa yang kamu nak buat, untuk saya berundur, tidak sama sekali.”

Itu reaksi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menerusi kenyataan di Facebook beberapa jam selepas Mahkamah Tinggi memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam kes saman fitnah.

Menerusi kenyataan ringkas difahamkan hantaran terbaharu itu berkaitan dengan keputusan mahkamah difailkan Teresa pada 2024 lalu.

“Ini masa kamu berkuasa. Kamu buatlah apa yang kamu nak buat. Untuk saya berundur, tidak sama sekali. Selamat berkempen,” katanya menerusi hantaran itu.

Pada Isnin, mahkamah memerintahkan Akmal membayar ganti rugi am RM250,000 serta kos RM50,000 kepada Teresa.

Teresa memfailkan saman pada 25 Oktober 2024 dengan mendakwa Akmal mengeluarkan kenyataan menghina dan merendahkan dirinya menerusi video di aplikasi TikTok pada 7 September 2024.

Beliau mendakwa kenyataan menggambarkannya sebagai tidak mempunyai pengetahuan, khususnya berkaitan pensijilan halal, selain menentang dasar kerajaan mengenai amalan Islam.

Teresa menamakan Akmal, yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, sebagai defendan tunggal dan menuntut pampasan serta ganti rugi am dan teladan.

Akmal bagaimanapun tidak hadir bagi mendengar keputusan itu. Teresa diwakili peguam, Datuk Sankara Nair, manakala Akmal diwakili peguam, Syahrul Syazwan Salehin.

Walaupun keputusan mahkamah tidak memihak kepada Akmal namun ia tidak menyebabkan Akmal hilang kelayakan secara automatik untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Kedudukan beliau perlu dinilai berdasarkan peruntukan undang-undang berkaitan kelayakan calon.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, sabitan bagi kesalahan tertentu serta syarat berkaitan hukuman dan pengampunan boleh menjejaskan kelayakan seseorang untuk menjadi ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Namun, keputusan dalam kes saman fitnah sivil berbeza daripada sabitan jenayah.

Oleh itu, Akmal masih boleh bertanding selagi memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan undang-undang.

Scroll to Top