am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelajar Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit mempertahankan pandangannya bahawa tindakan menderma wang hasil titik peluh untuk membantu golongan elit adalah perbuatan paling bodoh dan tidak bermoral.
Beliau turut menegaskan pendiriannya untuk tidak memohon maaf susulan mengemukakan kenyataan itu dalam Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa di Kuala Lumpur baru-baru ini, sehingga mencetuskan perdebatan pelbagai pihak.
“Saya tetap mempertahankan soalan yang dikemukakan dan tidak akan memohon maaf. Ini kerana menderma wang hasil titik peluh sendiri kepada golongan elit sememangnya, ya, merupakan perbuatan yang paling bodoh dan paling tidak bermoral.
“Saya berharap lebih ramai orang mendapat keberanian untuk bersuara mengenai rasuah dan integriti tanpa rasa takut,” katanya menerusi hantaran pada akaun Instagram miliknya, hari ini.
Sebelum ini, Ummi Umairah mempersoalkan tindakan orang ramai menderma bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, membayar denda mahkamah berjumlah RM50 juta dalam sebuah forum terbuka.
Program itu menampilkan panel bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin selain Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Pandangan berkenaan kemudiannya mengundang perdebatan di media sosial, termasuk kecaman serta komen berbaur ugutan terhadap mahasiswa berkenaan.
Ummi Umairah berkata, pandangannya kekal tidak berubah, selain turut berpegang teguh pada prinsip integriti, kesaksamaan dan keadilan serta menentang rasuah.
“Saya tidak pernah memilih isu untuk diperjuangkan. Saya hadir dalam demonstrasi (bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri) Azam Baki.
“Saya juga pernah bersuara mengenai ketidaksamaan peluang di universiti saya. Sejak hari pertama, saya konsisten menyuarakan pendirian saya,” katanya.
Ummi Umairah juga meluahkan rasa kecewa terhadap reaksi sebahagian masyarakat yang disifatkannya dipengaruhi buli siber, obsesi politik dan mentaliti feudal.
“Menyifatkan sesuatu perbuatan sebagai bodoh bukanlah suatu kesalahan di sisi undang-undang. Ia merupakan ungkapan tegas untuk menggambarkan sesuatu perbuatan yang sukar dipercayai atau tidak masuk akal.
“Pemikiran kritis semakin terhakis. Orang ramai membaca, tetapi tidak berfikir, membuat penyelidikan atau memahami perkara yang dibaca. Konteks diputarbelitkan.
“Menyifatkan sesuatu perbuatan sebagai bodoh tidak sama dengan memanggil seseorang itu bodoh,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




