Kuala Lumpur : Nasib nelayan berskala kecil di Malaysia bakal terbela menerusi pengenalan aplikasi perikanan berasaskan kecerdasan buatan (AI) terbaharu dikenali sebagai Afli, yang direka khusus untuk mengesan kawasan tumpuan ikan serta meningkatkan keselamatan semasa berada di laut.
Inisiatif ini dijayakan menerusi Perjanjian Kerjasama strategik antara Supratechnic (M) Sdn Bhd bersama syarikat teknologi perikanan dari Iceland, GreenFish hf., sekali gus melantik Supratechnic sebagai pengedar eksklusif aplikasi berkenaan di Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Ketua Pegawai Eksekutif Supratechnic, Melvin Tan berkata, aplikasi ini dibangunkan untuk membantu nelayan mengurangkan kos operasi seperti bahan api dan masa perjalanan yang tidak menentu, terutamanya bagi bot-bot kecil di bawah 40 GRT (Zon A dan B).
“Setiap nelayan yang keluar ke laut sepatutnya boleh pulang ke rumah dengan selamat bersama hasil tangkapan yang memuaskan.
“Afli meletakkan ramalan berasaskan AI pada telefon bimbit mereka secara luar talian, menggabungkan data teknologi terkini dengan pengetahuan tradisi nelayan,” katanya.
Menerusi aplikasi Afli, data pemantauan satelit dan oseanografi akan dikemas kini setiap enam jam bagi mengenal pasti lokasi tangkapan tinggi.
Aplikasi ini turut beroperasi tanpa perkhidmatan liputan internet ketika berada di lautan lepas.
Selain carian lokasi ikan, aplikasi ini juga sedang membangunkan ciri keselamatan baharu seperti amaran lewat pulang kepada ahli keluarga di daratan dan fungsi kecemasan (SOS).
Sebagai permulaan, projek rintis percuma selama empat hingga enam bulan akan dilancarkan membabitkan 50 nelayan di pantai timur dan barat Semenanjung Malaysia, bagi menguji ketepatan aplikasi ini sewaktu musim monsun sebelum ia dilancarkan secara komersial sepenuhnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




