am@hmetro.com.my
Butterworth: Enam lelaki termasuk seorang majikan ditahan di sini, petang tadi, bagi membantu siasatan kes seorang wanita warga Indonesia disyaki didera sehingga melecur di seluruh badan di Tanjong Sepat, Selangor, tiga hari lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata penahanan itu dilakukan dalam serbuan ke atas sebuah premis tayar di Jalan Merbau, Pusat Perniagaan Oren, kira-kira jam 6.30 petang.
Katanya, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman membabitkan D9, D7 dan D8 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat serta dibantu Unit Forensik JSJ Pulau Pinang.
“Serbuan dijalankan bagi membantu siasatan berkaitan laporan polis Tanjong Sepat yang disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
“Dalam operasi itu, enam lelaki termasuk majikan mangsa ditahan bagi membantu siasatan, namun identiti semua suspek masih dalam proses dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
Anuar berkata, mangsa dikenali sebagai Siti Rohaya yang dipercayai didera majikannya di sebuah lokasi di Jalan Besar Kampung Tumbok pada 16 Oktober lalu.
“Mangsa dilaporkan melecur di seluruh badan akibat kejadian berkenaan. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti semua fakta dan keadaan sebenar kejadian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




