UiTM lantik Ramli MS sebagai Profesor Adjung Fakulti Muzik

UiTM lantik Ramli MS sebagai Profesor Adjung Fakulti Muzik

Shah Alam: Pengalaman luas Datuk Ramli Mohd Salleh atau Ramli MS bakal dimanfaatkan bagi memperkukuh hubungan antara bidang akademik dan realiti industri muzik susulan pelantikannya sebagai Profesor Adjung Fakulti Muzik Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Ramli berkata, pelantikan itu membuka ruang untuk beliau berkongsi pengetahuan dan pengalaman sebenar industri dengan mahasiswa, sekali gus melengkapkan pembelajaran berasaskan teori yang diperoleh di universiti.

Menurutnya, pendedahan secara langsung terhadap persekitaran profesional penting bagi membantu mahasiswa memahami tuntutan industri, termasuk aspek kreativiti, kemahiran teknikal dan peluang kerjaya.

“Pada saya, ia mengenai perkongsian ilmu daripada dunia sebenar (real world), yang berbeza daripada apa yang mereka pelajari di universiti.

“Saya berada di luar, dalam industri. Jadi, saya boleh berkongsi tentang realiti sebenar dan apa yang berlaku dalam industri,” katanya kepada BH Online.

Ramli berkata, pengalaman bekerjasama dengan pelbagai pemuzik serta memberi peluang kepada bakat baharu akan dimanfaatkan untuk membantu melahirkan lebih ramai pelapis berkualiti dalam industri muzik tanah air.

Menurutnya, mahasiswa perlu diberi peluang meneroka dan memainkan karya muzik yang lebih mencabar bagi memperluas kemahiran, pengalaman serta keupayaan mereka sebagai pemuzik dan penggubah.

Katanya, pendekatan itu dapat membantu mahasiswa mengembangkan potensi diri, di samping membina keyakinan untuk berhadapan dengan cabaran sebenar selepas menamatkan pengajian.

Ramli juga melihat pelantikannya sebagai peluang untuk membuka laluan kepada mahasiswa memasuki dunia profesional termasuk melalui bimbingan dan cadangan peluang yang bersesuaian dengan kebolehan masing-masing.

“Tak terlewat untuk saya berkongsi. Saya memang banyak berkongsi dengan budak-budak baharu kerana mereka ini pelapis,” katanya.

Pada masa sama, Ramli menegaskan penguasaan ilmu dan kemahiran muzik sahaja tidak mencukupi untuk membolehkan seseorang membina kerjaya yang mampan dalam industri.

Sebaliknya, katanya, pemuzik juga perlu memahami nilai komersial karya serta kepentingan penjenamaan diri bagi meningkatkan daya saing dan membuka lebih banyak peluang profesional.

Pelantikan Ramli sebagai Profesor Adjung Fakulti Muzik UiTM untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 15 Ogos lalu.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, pelantikan tokoh muzik berpengalaman itu mencerminkan usaha universiti merapatkan jurang antara pendidikan muzik dengan keperluan industri kreatif.

Menurutnya, pembabitan Ramli dijangka memperkukuh pendedahan profesional mahasiswa, selain membantu mereka memahami tuntutan industri serta perkembangan semasa dalam bidang muzik.

“Pelantikan Datuk Ramli MS membawa nilai tambah besar kepada Fakulti Muzik UiTM berdasarkan pengalaman luas dan kedudukan beliau sebagai antara tokoh yang disegani dalam bidang muzik serta produksi tanah air,” katanya.

Katanya, pembabitan tokoh industri secara langsung dalam ekosistem akademik juga penting bagi memberikan mahasiswa perspektif lebih menyeluruh, bukan hanya berteraskan teori, malah turut mengambil kira pengalaman dan realiti profesional.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Dekan Fakulti Muzik UiTM, Profesor Tazul Izan Tajuddin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top