am@hmetro.com.my
Papar: Polis menahan seorang lelaki berusia 45 tahun di sini, petang tadi susulan tiga insiden menyentuh sensitiviti agama di dua rumah ibadat sekitar daerah ini, sejak September lalu.
Suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Pekan Kimanis, kira-kira jam 4 petang selepas polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Papar menjalankan risikan dan siasatan berhubung kejadian dilaporkan pada 17 September serta semalam.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, penahanan lelaki itu turut membawa kepada rampasan sebuah telefon bimbit jenama Infinix dan kereta Proton Saga FLX bagi membantu siasatan.
Katanya, telefon bimbit berkenaan dipercayai mengandungi rakaman video berkaitan perbuatan membakar bahan keagamaan.
“Siasatan dijalankan secara menyeluruh bagi menentukan penglibatan suspek dalam ketiga-tiga kejadian berkenaan serta mengenal pasti motif sebenar.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Heryan berkata, kejadian pertama dilaporkan pada 17 September di sebuah rumah ibadat di Kelatuan apabila sehelai selendang bertulis slogan tertentu ditemukan dililit pada simbol keagamaan di premis berkenaan.
Katanya, kejadian kedua di lokasi sama kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam apabila ditemui 18 cebisan kertas mengandungi tulisan jawi serta tiga cebisan bendera Sabah.
“Dalam kejadian ketiga kira-kira jam 4 petang semalam, beberapa helaian bahan keagamaan yang dikoyakkan ditemukan bertaburan di atas jalan raya berhampiran sebuah rumah ibadat di Kimanis,” katanya.
Heryan berkata pihaknya memandang serius sebarang perbuatan yang menyentuh sensitiviti agama dan berpotensi menjejaskan keharmonian serta perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sabah.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat belum disahkan atau mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi, khususnya menerusi media sosial.
“Polis memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus, profesional dan menyeluruh tanpa kompromi.
“Tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan berdasarkan hasil siasatan dan bukti diperoleh,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




