Aduan salah laku polis di Kelantan meningkat – Polis

Aduan salah laku polis di Kelantan meningkat – Polis

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Jumlah aduan salah laku membabitkan Polis Kelantan yang direkodkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) meningkat kepada 330 aduan pada tahun ini, berbanding 224 aduan pada tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, daripada itu, 75 kes bagi kertas Siasatan Tatatertib (KST) direkodkan masing-masing untuk tahun berkenaan.

Katanya, bagi Kertas Enkuiri Tatatertib (KET), ia menurun daripada 24 kes kepada 11 kes.

“Statistik Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) itu perlu dijadikan peringatan bahawa pematuhan peraturan, disiplin dan integriti tidak boleh dipandang ringan.

“Justeru, JIPS perlu terus memperkukuh pemantauan, memastikan setiap aduan ditangani secara profesional dan adil, serta meningkatkan usaha pencegahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Mohd Yusoff berkata, usaha itu penting bagi memastikan setiap warga pasukan sentiasa berpegang teguh pada etika dan amanah perkhidmatan.

“Saya mahu seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) memahami bahawa integriti bukan pilihan, disiplin bukan beban dan akauntabiliti bukan sekadar prosedur.

“Pangkat memberikan kuasa, tetapi integriti mencerminkan kewibawaan dan maruah seseorang anggota.

“Ingatlah, sehelai benang hitam mampu mencacatkan tenunan putih, begitu juga salah laku seorang pegawai atau anggota, ia mampu membayangi jasa dan pengorbanan ribuan warga pasukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top