Video orang awam bongkar aktiviti penyembelihan ayam meragukan di belakang Pasar Pudu. – Aktivis

Video orang awam bongkar aktiviti penyembelihan ayam meragukan di belakang Pasar Pudu. – Aktivis

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kaedah penyembelihan ayam yang meragukan di sebuah premis berhampiran Pasar Pudu di sini, terbongkar selepas seorang individu menunjukkan rakaman video kepada sekumpulan aktivis masyarakat, di sini, malam tadi.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain berkata, dia bersama pasukannya sedang mengikuti satu operasi penguatkuasaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beberapa agensi lain di kawasan pasar berkenaan.

Menurutnya, individu terbabit memaklumkan rakaman itu dibuat ketika aktiviti pemprosesan ayam sedang berlangsung, menyebabkan pasukannya segera menuju ke premis berkenaan pada jam 11.30 malam hingga 12 tengah malam tadi.

“Apabila kami sampai ke lokasi berkenaan, semua pekerja sudah melarikan diri.

“Premis itu juga didapati tidak mempunyai papan tanda atau nama syarikat. Kami juga tidak melihat sebarang sijil atau dokumen pengesahan dipamerkan,” katanya dihubungi, hari ini.

Mohd Sophian mendakwa rakaman video oleh pengadu berkenaan menunjukkan ayam dimasukkan ke dalam bekas berisi air ketika masih menggelupur selepas disembelih.

Katanya, keadaan itu menimbulkan keraguan sama ada ayam berkenaan mati akibat sembelihan atau ketika berada di dalam air.

“Kita tidak tahu ayam mana yang mati kerana sembelihan dan yang mana mungkin mati akibat lemas di dalam air.

“Sebab itu, saya meminta semua ayam berkenaan disita kerana perkara ini membabitkan status halal dan keselamatan makanan,” katanya.

Menurutnya, pasukannya turut membuat siaran langsung di TikTok, selain merakam sebuah lori yang mempunyai identiti sebuah pasar raya menghantar ayam hidup ke premis berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, identiti pemilik premis dan hubungannya dengan pasar raya itu perlu disemak pihak berkuasa berdasarkan dokumen berkaitan.

Mohd Sophian turut menggesa pihak berkuasa memperketat pemantauan terhadap premis penyembelihan ayam, termasuk pematuhan prosedur, status pekerja dan kebersihan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top