nuratikah@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan digesa mengkaji semula pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dengan mengecualikan golongan berpendapatan tinggi daripada menerima bantuan itu.
Ahli Parlimen Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan peruntukan kerajaan disalurkan kepada golongan yang lebih memerlukan.
“Adakah semua penerima dalam kumpulan besar ini benar-benar memerlukan bantuan terbabit? Saya cadangkan nilai tersebut disalurkan terus kepada tabung makanan, bantuan persekolahan atau dana sokongan kepada M40 rentan.
“Bantuan SARA ini diberi kepada semua (rakyat Malaysia berusia) 18 tahun ke atas, termasuk (Ahli Dewan Rakyat) semua dapat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Cadangan itu turut mendapat sokongan Ahli Parlimen Temerloh Salamiah Mohd Nor, yang menyatakan bantuan terbabit perlu dihapus atau dikecualikan kepada golongan berpendapatan tinggi.
“Saya setuju yang disebut oleh (Ahli Parlimen) Besut tadi tentang SARA. Saya mencadangkan supaya SARA ini dihapuskan atau dikecualikan kepada golongan berpendapatan tinggi dan disebut tadi diagihkan kepada golongan sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid, turut mencadangkan supaya caj transaksi satu peratus yang dikenakan melalui sistem MyKasih bagi pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disalurkan kepada syarikat kerajaan bagi mengurangkan kos pelaksanaan bantuan berkenaan.
“Apakah pandangan (Ahli Parlimen) Besut bahawa satu peratus itu disalurkan kepada syarikat kerajaan untuk memudahkan ataupun mengurangkan perbelanjaan kerajaan daripada diberikan kepada MyKasih?” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai pemberian BUDI95, Che Mohamad Zulkifly turut mencadangkan supaya kelayakan subsidi petrol menerusi BUDI95 dikaji semula.
Katanya, berdasarkan rekod, hanya 100,000 pengguna atau kurang satu peratus menggunakan keseluruhan had berkenaan.
“Walaupun kerajaan meningkatkan had kelayakan BUDI95 kepada 300 liter sebulan, rekod menunjukkan bahawa sekitar 100,000 sahaja pengguna atau pun kurang satu peratus daripada kelayakan tersebut.
“Jadi, kita perlu kaji semula dengan (cadangan saya) untuk diberikan kepada golongan M40 rentan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




