sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jaguh powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin terus membuktikan keunggulannya apabila menghadiahkan pingat emas kedua Malaysia pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 menerusi acara 72 kilogram (kg) lelaki di Pusat Perdagangan dan Industri Bandar Nagoya, hari ini.
Bonnie mengangkat bebanan keseluruhan 225 kilogram (kg) untuk muncul juara, sekali gus meninggalkan pencabar terdekat dari China, Zhang Pingkong yang meraih perak dengan angkatan 212kg.
Pingat gangsa pula menjadi milik wakil Iran, Mohsen Bakhtiar yang mencatat angkatan 208kg.
Kejayaan itu menyaksikan Bonnie meneruskan kecemerlangan di pentas antarabangsa apabila berjaya mengatasi pencabar dari China dan Iran dalam acara yang menuntut kekuatan serta ketepatan teknik berkenaan.
Bonnie memulakan saingan dengan angkatan 216kg sebelum berjaya meningkatkan bebanan kepada 225kg pada percubaan kedua.
Dia bagaimanapun gagal mengesahkan angkatan 231kg pada percubaan ketiga, namun catatan terbaiknya sudah cukup untuk memastikan emas menjadi milik negara.
Pingkong pula berjaya melakukan angkatan 212kg pada percubaan kedua, manakala Bakhtiar turut mencatat 208kg sebagai angkatan terbaiknya untuk membawa pulang gangsa.
Kejayaan Bonnie itu menambah koleksi emas kontinjen negara pada temasya berkenaan, sekali gus menyemarakkan harapan Malaysia untuk terus mengutip pingat menerusi atlet yang masih bertanding.
© New Straits Times Press (M) Bhd




