Krisis takhta selesai! Tuanku Nadzaruddin, Undang Yang Empat seru pihak luar jangan masuk campur

Krisis takhta selesai! Tuanku Nadzaruddin, Undang Yang Empat seru pihak luar jangan masuk campur

Pertikaian mengenai takhta Negeri Sembilan tidak seharusnya terus dijadikan bahan perdebatan atau kepentingan politik susulan dakwaan bahawa segala proses berkaitan penurunan takhta dan pemilihan pemerintah negeri telah disempurnakan mengikut adat.

Pendirian itu disuarakan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar bersama kumpulan Undang Yang Empat yang kedudukannya dipertikaikan serta Tunku Besar Tampin menerusi satu kenyataan bersama hari ini.

Menurut mereka, proses berkenaan telah melalui beberapa peringkat termasuk pemeteraian Proklamasi Penurunan Takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim pada 3 Ogos lalu.

Perkara itu kemudian dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 15 September 2026 sebelum dimaklumkan secara rasmi kepada Majlis Raja-Raja menerusi surat Menteri Besar bertarikh 21 September.

“Kami menegaskan bahawa isu adat dan takhta Negeri Sembilan telah pun selesai dengan sempurna apabila Proklamasi Penurunan Takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di bawah Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Proklamasi tersebut juga telah diterima dan diputuskan untuk dilaksanakan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim pada 15 September 2026.
“Pemakluman rasmi mengenainya juga telah dibuat kepada Majlis Raja-Raja oleh Kerajaan Negeri Sembilan melalui surat rasmi Menteri Besar pada 21 September 2026,” menurut kenyataan itu.

Dalam mempertahankan pendirian tersebut, kumpulan berkenaan menegaskan bahawa kuasa menentukan kedudukan Yang di-Pertuan Besar terletak pada Undang Yang Empat sebagaimana diperuntukkan dalam adat dan UUTKNS 1959.

Mereka turut merujuk Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan bagi menyokong pendirian bahawa urusan takhta perlu ditangani mengikut peruntukan perlembagaan negeri, bukannya melalui campur tangan pihak luar.

“Bagi Negeri Sembilan, pihak berkuasa itu ialah Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 dan 11 UUTKNS 1959. Kerajaan Persekutuan, jabatan dan agensinya tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara ini.
“Mereka hendaklah menghormati kedaulatan Kerajaan Negeri Sembilan dan keluhuran adat serta UUTKNS 1959,” tegas kenyataan tersebut.

Undang: Ismail Lasim tak perlu lagi menghadap Tuanku Muhriz

Pada masa sama, mereka menyambut baik titah Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Oktober yang mengingatkan semua pihak supaya mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran dan penghormatan terhadap institusi diraja.

Kenyataan itu turut menyentuh pembatalan perkenan pelantikan 10 EXCO oleh Tuanku Muhriz serta menyeru jentera pentadbiran negeri supaya terus memberikan kerjasama kepada Menteri Besar tanpa dipengaruhi tekanan luar.

“Kami menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan agar bertenang dan menjaga tutur kata. Rakyat juga diseru tidak menyebarkan khabar yang belum disahihkan dan tidak terpengaruh dengan naratif yang memecahbelahkan,” menurut kenyataan itu.

Scroll to Top