Seruan Istito'ah pendekkan giliran tunai haji kepada 70 tahun berbanding 150 tahun – Zulkifli

Seruan Istito'ah pendekkan giliran tunai haji kepada 70 tahun berbanding 150 tahun – Zulkifli

Kuala Lumpur: Pelaksanaan Pelan Persediaan Haji atau Seruan Istito’ah, yang menggantikan proses pengurusan giliran haji sebelum ini berpotensi mengurangkan lebih separuh tempoh menunggu sehingga di bawah 70 tahun, berbanding sekitar 150 tahun sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata tempoh anggaran semasa Lembaga Tabung Haji (TH) itu bagaimanapun boleh berubah.

Beliau berkata antaranya bergantung kepada jumlah pendeposit yang memenuhi syarat simpanan minimum ditetapkan, bilangan kuota haji rasmi Malaysia pada masa hadapan serta perkembangan semasa terutamanya di Tanah Suci.

“Bermula 1 Jan 2029, giliran haji akan disusun semula secara sistematik dan automatik berdasarkan tarikh pendaftaran dalam kalangan mereka yang telah mencapai simpanan minimum RM15,000.

“Bagi mereka yang telah mendaftar tetapi masih belum mencapai paras minimum tersebut, kedudukan mereka akan dimasukkan dalam giliran haji aktif apabila syarat kesiapsiagaan simpanan tersebut dicapai,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai tempoh sebenar menunggu untuk menunaikan haji bagi pendeposit yang telah mencapai simpanan minimum RM15,000, selain apakah nasib pendeposit yang telah lama berdaftar tetapi simpanan belum mencukupi.

Zulkifli berkata bagi pendeposit yang telah mendaftar haji, mereka diberikan tempoh peralihan lebih dua tahun hingga 31 Dis 2028 untuk mencapai sasaran simpanan minimum RM15,000 tersebut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top