Sentuhan solekan Zulyasrani bukan calang-calang

Sentuhan solekan Zulyasrani bukan calang-calang

redzuan.muharam@hmetro.com.my

TIDAK pernah terlintas di fikiran lelaki ini yang dia akan bergelar jurusolek kerana pernah beranggapan kerjaya itu lebih sinonim dengan wanita.

Lagipun, Zulyasrani Zaulyaddin, 38, atau mesra disapa Zul sedar kemampuan diri kerana tiada pengalaman dalam bidang solekan sebaliknya lebih mahir menggunting dan penggayaan rambut kerana memiliki kelulusan diploma dalam bidang itu.

Hasil saranan isteri tercinta, Farahdilla Marzuki, 35, Zul keluar daripada zon selesa dengan bergelar jurusolek atau MUA, pendandan rambut dan penata gaya yang khusus untuk lelaki bermula lima tahun lalu.

Percubaannya tidak sia-sia malah kekemasan hasil kerja terutama dalam solekan memikat hati ramai klien termasuk dalam kalangan kerabat diraja serta selebriti lelaki popular tanah air seperti Datuk Amy Search, Syed Saddiq, Fattah Amin, Shukri Yahaya, Meerqeen dan Awal Ashaari.

“Sebenarnya, saya bermula sebagai tukang gunting rambut dan penggayaannya (rambut) selain aktif dalam modeling.

“Tak pernah berangan pun nak menceburi dunia ‘MUA’ (jurusolek) kerana malu dan fikir ia bidang orang perempuan.

“Tapi isteri meyakinkan saya dan memandangkan sudah ramai jurusolek untuk klien wanita, saya nekad mulakan langkah dengan fokus kepada (klien) lelaki saja.

“Ia kerana waktu itu memang tak ramai jurusolek lelaki dan selain isteri, saya dapat sokongan kuat daripada keluarga yang tak menghalang keinginan saya ‘mencari makan’ dalam bidang ini,” katanya yang sudah dikurniakan dua cahaya mata.

Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu berkata, pada awalnya, dia lebih banyak mengambil tempahan solekan untuk pengantin lelaki dan model sebelum khidmatnya diperluaskan kepada golongan selebriti juga golongan kenamaan atau VIP.

Sebagai amatur ketika itu, Zul mengakui gementar namun cuba melakukan yang terbaik kerana memikirkan kepercayaan pelanggan terhadapnya selain tanggungjawab untuk memberi kepuasan buat mereka.

“Ikutkan, ilmu solekan ada kerana saya model cuma asas saja jadi pergi ‘berguru’ dengan Shanel Harun yang kini seorang pereka fesyen terkenal.

“Selebihnya, saya belajar dengan menonton video di YouTube. Cuma saya seorang pelukis jadi sudah terbiasa pegang berus walaupun tak sama dengan berus solekan.

“Jadi tangan saya tidaklah kaku sangat cuma bukan mudah nak menyolek wajah lelaki. Jika tidak, solekan akan kelabu, bercapuk dan tebal sedangkan kita nak dapatkan solekan yang nampak ‘natural’ (semula jadi),” katanya yang juga anak sulung daripada tiga beradik.

Jejaka tinggi lampai itu berkata, dia berkongsi hasil kerjanya menerusi Instagram (IG) dengan memuat naik gambar juga video sebelum dan selepas mendapat sentuhannya.

Dari situ, Zul mendapat lebih ramai klien dengan ada juga dalam kalangan mereka tahu menerusi hebahan mulut ke mulut.

Terbaru, Zul diberi kepercayaan Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar untuk majlis resepsi perkahwinan dengan pasangannya, Bella Astillah di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Berkongsi pengalaman tidak dapat dilupakan sepanjang bergelar jurusolek, Zul berkata, dia tidak pernah dimarahi klien namun pernah ada yang ‘lari’ tanpa melangsaikan bayaran.

“Itu antara pengalaman awal dan sekarang tak ada lagi isu kerana saya letak syarat iaitu klien perlu bayar wang pendahuluan dan jika mereka batalkan, kena buat bayaran penuh.

“Pengalaman lain yang tak dapat saya lupakan adalah dua tahun lalu apabila terlupa membawa beg berisi produk dan alat dandanan rambut.

“Disebabkan tak boleh berpatah balik, saya terpaksa gunakan barangan milik klien dan mujurlah dia okay dan dapat menggayakan rambutnya tanpa masalah.

“Soal layanan sama saja baik orang biasa, selebriti atau VIP dan Insya-Allah dapat khidmat terbaik daripada saya. Cuma perasaan gementar untuk menyolekkan wajah klien itu masih ada sehingga ke hari ini,” katanya yang juga menawarkan khidmat sebagai pendandan rambut juga penata gaya buat klien dalam pakej solekannya.

Kata Zul, dia belum terfikir untuk membuka kelas solekan walaupun ada permintaan kerana bimbang tidak dapat memberi komitmen berikutan jadual harian yang agak padat.

Bagaimanapun, Zul merancang mengeluarkan produk solekan di bawah jenamanya jika ada rezeki satu hari nanti.

“Buat masa ini, saya mahu fokus dengan kerjaya ini kerana buat secara sepenuh masa dan belum terfikir nak ubah haluan walaupun pernah juga menceburi bidang nyanyian satu ketika dahulu.

“Tapi saya tak tahu bagaimana ke depannya nanti dan jujurnya masih tak sangka bergelar jurusolek seperti sekarang. Saya anggap ia rezeki anak dan isteri kerana tak lama selepas berkahwin terus menjadi jurusolek.

“Bagi lelaki di luar sana yang berminat, teruskan saja cuma perlu tambah ilmu dan bijak seandainya mahu serius cari pendapatan sebagai jurusolek.

“Cari identiti sendiri dan sebaiknya jangan tiru orang lain supaya orang tahu serta ingat hasil sentuhan kita. Jangan berhenti belajar malah saya masih berusaha menambah ilmu dan menjadikan jurusolek dan pendandan rambut luar negara, Shannon JJ Williams sebagai inspirasi,” katanya menyimpan hasrat untuk menyolek wajah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan penyanyi terkenal Indonesia, Afgan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top