rizar@mediaprima.com.my
Johor Bahru: Ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin tampak mempersoalkan jadual perlawanan Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-14 selepas Pakistan yang bakal ditentang di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, malam ini berehat dalam tempoh dua hari.
Nor Saiful berkata, skuad Young Tigers pula terpaksa beraksi dua perlawanan yang berintensiti tinggi iaitu menentang Jepun dan mencipta kemenangan 4-2, semalam dan akan berdepan Pakistan, malam ini dalam usaha memburu slot ke pentas final
“Saya pun tak tahun macam mana jadual boleh jadi begitu, Pakistan rehat dua hari dan kita pula beraksi dua hari berturut-turut. Sudah tentu tekanan kepada pemain dan ia aksi antarabangsa kerana jika sudah main satu perlawanan, sepatutnya akan diberi rehat satu hari.
“Sudah tentu kita akan berdepan tugas rumit apabila berdepan Pakistan nanti dan kita akan lihat apa strategi yang terbaik untuk menentang mereka malah kita harus berjaga-jaga terutama di suku ketiga dan keempat mereka akan beri tekanan.
“Hanya tiga pemain Pakistan yang beraksi pada saingan Piala Dunia Remaja di Mongolia, baru-baru ini tidak beraksi dalam saingan SOJC namun mereka ada kekuatan tersendiri dan kita tidak boleh leka sebaliknya harus mengawal pergerakan pemain Pakistan satu lawan satu,” katanya.
Nor Saiful menambah, akibat kesuntukan masa, latihan untuk mengemaskan pukulan sudut penalti tidak dapat dilaksanakan sebaliknya hanya akan merujuk kepada rakaman video bagi memperbetulkan teknik supaya tidak lagi melakukan kesilapan yang menjejaskan peluang mencipta jaringan.
Katanya, ia adalah sebahagian proses bagi memperkemaskan taktikal permainan malah apa jua kelemahan yang dikesan akan dibincangkan bersama para pemain selain mengkaji corak permainan Pakistan terutama strategi mereka menyusun serangan.
“Untuk berdepan Pakistan kita perlu kawal pemain mereka kerana kelebihan yang ada sudah pasti skil menggelecek dengan kawalan kayu hoki yang baik, oleh itu kita tidak boleh beri kebebasan mereka bergerak.
“Jadi kita kena letak seorang pemain yang memainkan peranan selaku sweeper. Kalau ada pemain kita tertinggal maka pemain sweeper akan berada untuk menyekat gerakan pemain Pakistan,” ujar Nor Saiful
© New Straits Times Press (M) Bhd




