Arteta risau tahap kecederaan Saka

Arteta risau tahap kecederaan Saka

Munich, Jerman: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta, mengakui kelab itu bimbang dengan tahap kecederaan dialami pemain sayap Bukayo Saka selepas Arsenal seri 2-2 dengan Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah yang mendebarkan, awal pagi tadi.

Saka yang merupakan penjaring terbanyak bersama Arsenal musim ini bersama Victor Gyokeres, terpaksa dikeluarkan awal selepas rebah sambil memegang pahanya sebelum digantikan Eberechi Eze.

Eze membuka jaringan buat Arsenal sebelum Declan Rice menjaringkan gol lewat permainan untuk memastikan naib juara musim lalu itu membawa pulang satu mata, selepas Alphonso Davies dan Harry Kane masing-masing menjaringkan gol buat Bayern.

Arteta berkata keadaan kecederaan Saka masih belum dapat dipastikan, namun mengakui pasukan perubatan kelab bimbang dengan keadaannya.

“Mereka agak bimbang mengenai Saka. Apabila seorang pemain terpaksa keluar kerana mengalami kesakitan yang kuat, ia tidak pernah menjadi berita baik. Kami perlu menunggu dan melihat keadaannya,” kata Arteta kepada pemberita.

“Tahap intensiti yang diperlukan dalam perlawanan seperti ini juga luar biasa. Anda boleh lihat perkara itu dalam perlawanan PSG menentang Barcelona malam tadi.

“Tahap yang diperlukan sangat tinggi. Ia benar-benar luar biasa. Ini adalah tahap tertinggi dan malangnya perkara seperti ini boleh berlaku.

“Dia langsung tidak kelihatan baik, tetapi kita perlu tunggu dan lihat,” tambah pengendali dari Sepanyol itu.

Arteta turut memuji usaha anak buahnya selain memberikan penghargaan kepada Bayern atas persembahan mereka.

“Bayern membelasah setiap pasukan, jadi saya sangat menghargai apa yang dilakukan pemain kami malam ini,” katanya.

“Ini antara tahap permainan tertinggi yang pernah kami lalui… tahap lawan dan tahap permainan kami sendiri. Ia adalah perlawanan antara dua pasukan yang mahu menyerang dan bermain bola sepak.”

Rice pula meluahkan kegembiraan selepas menjaringkan gol penyamaan pada penghujung perlawanan.

“Saya sangat gembira. Apabila anda bermain menentang pasukan seperti Bayern yang bermain secara kawalan satu lawan satu di seluruh padang, anda perlu berpegang kepada prinsip tertentu,” kata Rice kepada TNT.

“Saya terus berlari, berjaya melepaskan diri daripada kawalan pemain lawan dan akhirnya berdepan dengan penjaga gol untuk menjaringkan gol.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top