am@hmetro.com.my
Tawau: Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini, memerintahkan seorang pegawai Imigresen dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 17 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM14,250 tiga tahun lalu.
Hakim Andi Razalijaya A Dadi membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Katika Dewiana Bacho, 40, selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk tidak meneruskan perbicaraan terhadap tertuduh pada prosiding perbicaraan peringkat pendakwaan.
Dalam keputusannya, Andi Razalijaya berkata, selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah berpuas hati terdapat alasan mencukupi untuk membenarkan pihak pendakwaan tidak meneruskan perbicaraan berkenaan pada peringkat ini.
Sehubungan itu, mahkamah memberikan kebenaran kepada pihak pendakwaan mengikut Seksyen 254(2) Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dilepaskan daripada kesemua 17 pertuduhan, namun pelepasan itu tidak terjumlah kepada suatu pembebasan.
Dalam membuat keputusan itu, mahkamah turut mempertimbangkan hujahan pembelaan berhubung prejudis dialami tertuduh sepanjang berdepan prosiding berkenaan selain mengambil maklum tertuduh berdepan prosiding tatatertib dalam pekerjaannya, digantung kerja serta mengalami kesan kewangan.
Selain itu, mahkamah turut mengambil kira keadaan kesihatan tertuduh yang dikemukakan dalam prosiding, termasuk pembedahan yang dijalani baru-baru ini serta rawatan perubatan yang masih berterusan.
“Perkara berkenaan tidak boleh diketepikan begitu sahaja kerana sesuatu pertuduhan jenayah membawa kebimbangan dan ketidakpastian berterusan kepada seseorang tertuduh.
“Mahkamah berpandangan keadaan itu lebih signifikan apabila sesuatu prosiding masih belum diselesaikan untuk tempoh yang agak lama,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Norsham Saharom, manakala tertuduh diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon dan Zahbia Ophent.
Permohonan DNAA itu dikemukakan pihak pendakwaan semalam selepas lima saksi selesai memberikan keterangan dalam perbicaraan yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari.
Ia susulan saksi berikutnya masih belum dapat dipanggil berikutan terdapat perkembangan baharu berkaitan beberapa akaun bank milik saksi yang telah ditutup dan disenarai hitam, dengan proses pengesahannya dijangka mengambil masa lebih lama.
Sehubungan itu, mahkamah turut memerintahkan wang jaminan dan pasport tertuduh dikembalikan manakala tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini adalah dilapangkan susulan perintah berkenaan.
Katika Dewiana sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 17 pertuduhan memperoleh untuk dirinya wang tunai tanpa balasan yang dipindahkan daripada akaun peribadi Maybank milik Eryano Jabar, 58, membabitkan jumlah keseluruhan RM14,250.
Wang berkenaan didakwa diterima daripada Eryano yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh, iaitu menguruskan warga asing untuk melepasi kaunter pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Tawau bagi perjalanan ke Kuala Lumpur.
Tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Imigresen Gred KP19 didakwa melakukan kesalahan berkenaan di kaunter pemeriksaan Imigresen Lapangan Terbang Tawau antara Januari hingga Mac 2023.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




