Dua anggota polis yang mendakwa mengalami kecederaan akibat perbuatan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bakal mengambil tindakan sivil terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) itu atas kapasiti peribadinya.

Memetik laporan berita Harian, peguam yang mewakili kedua-dua anggota berkenaan, Kamal Hisham Ja’affar, berkata kerajaan Malaysia tidak akan dinamakan sebagai defendan dalam saman tersebut.
Menurutnya, draf saman kini dalam proses dimuktamadkan untuk difailkan di mahkamah dalam tempoh tujuh hari.
“Saman sivil ini hanya akan difailkan terhadap Mohd Shuhaily secara peribadi dan tidak membabitkan kerajaan Malaysia sebagai defendan,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, nilai ganti rugi yang akan dituntut oleh setiap anggota polis berkenaan masih belum diputuskan kerana pihak peguam perlu mendapatkan laporan perubatan terlebih dahulu.
“Anggaran tuntutan boleh dibuat selepas menerima laporan perubatan,” jelasnya.
Beliau menjelaskan, laporan itu akan menjadi asas untuk menilai jumlah tuntutan yang bersesuaian dengan kecederaan dialami kedua-dua anak guamnya.
Hasrat memfailkan saman sivil tersebut menyusuli pendakwaan terhadap Mohd Shuhaily di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober. Beliau mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Shuhaily dituduh menyebabkan kecederaan kepada Mohamad Faiz Saman berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 28 September lalu.

Perbuatan itu didakwa berlaku antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari.
Bagi pertuduhan kedua, beliau dituduh melakukan perbuatan sama terhadap Muhammad Ekmal Sofwan Dirman di lokasi serta dalam tempoh masa yang sama.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Mohd Shuhaily diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan jaminan RM3,000.
Sebutan semula kes serta serahan dokumen ditetapkan pada 25 November ini.
Sumber: Berita Harian (Suraya Roslan)




