Burung kakak tua 'mengamuk' di lapangan terbang

Burung kakak tua 'mengamuk' di lapangan terbang

Chicago: Seekor burung hijau eksotik terbang masuk ke terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Chicago O’Hare di sini, sebelum dirakam bertindak agresif terhadap penumpang dan pekerja syarikat penerbangan, lapor United Press International.

Video yang dirakam berhampiran kaunter daftar masuk Air France di Terminal 5 lapangan terbang itu menunjukkan burung berkenaan yang dipercayai sejenis burung kakak tua hinggap di kepala dan beg pakaian mereka.

Burung itu dilihat mematuk sesiapa sahaja yang cuba menyentuh atau menangkapnya.

Pekerja lapangan terbang O’Hare, Paris Elbert yang merakam kejadian itu pada 13 Oktober lalu berkata, burung berkenaan dipercayai terbang masuk menerusi pintu yang terbuka.

“Ramai orang mahu menangkap burung itu tetapi setiap kali mereka cuba memegang atau mendekatinya dengan baik, burung itu memilih untuk melawan dan bukannya melarikan diri,” katanya kepada CBS Chicago.

Elbert berkata, seorang pekerja pembersihan akhirnya berjaya menangkap burung itu dengan menggunakan sehelai baju.

Katanya, burung berkenaan kemudian dibawa ke klinik haiwan untuk pemeriksaan dan diimbas bagi mengesan kewujudan mikrocip.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top