Majikan perlu kuasai prosedur undang-undang pekerjaan

Majikan perlu kuasai prosedur undang-undang pekerjaan

KUALA LUMPUR: Majikan yang gagal mematuhi prosedur undang-undang pekerjaan berisiko berdepan pertikaian dan tuntutan undang-undang, khususnya apabila mengambil tindakan disiplin atau menamatkan perkhidmatan pekerja.

Sehubungan itu, pengurusan tenaga kerja perlu dilaksanakan secara teratur dengan mengambil kira kepentingan perniagaan, hak pekerja serta pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.

Keperluan itu semakin penting bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang kebanyakannya tidak mempunyai jabatan sumber manusia (HR) khusus untuk menguruskan isu berkaitan pekerja.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pegawai Eksekutif HRXPERT, Dr Norazlina Abdullah berkata, kelemahan memahami prosedur yang betul sering menjadi punca majikan tersilap langkah ketika menangani masalah disiplin atau membuat keputusan berkaitan pekerja.

“Ramai majikan tahu apabila pekerja melakukan kesalahan, tetapi tidak semua memahami prosedur yang perlu dipatuhi sebelum tindakan diambil.

“Kesilapan dalam proses itu boleh mendedahkan pemilik perniagaan atau syarikat kepada pertikaian dan tuntutan undang-undang.

“Justeru, kami memperkenalkan Talian Kecemasan HR bagi membolehkan majikan mendapatkan panduan awal sebelum membuat keputusan,” katanya.

Menurutnya, cabaran pengurusan pekerja bukan hanya melibatkan isu disiplin, malah merangkumi ketidakhadiran, prestasi kerja, penggajian, penamatan perkhidmatan dan pematuhan undang-undang pekerjaan.

Bagi membantu majikan menguruskan perkara berkenaan, HRXPERT menyediakan Talian Kecemasan HR yang menawarkan panduan awal secara percuma sebelum sebarang tindakan berkaitan pekerjaan dilaksanakan.

Kemudahan itu membolehkan majikan mendapatkan gambaran awal mengenai tindakan yang wajar dipertimbangkan, sekali gus mengelakkan keputusan dibuat secara terburu-buru tanpa penelitian mencukupi.

Majikan perlu kuasai prosedur undang-undang pekerjaan
Dr Norazlina Abdullah.

Dalam usaha memperkukuh perkhidmatan berkenaan, HRXPERT turut melantik bekas Pengarah di Ibu Pejabat Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Tuan Haji Hussain Ali Meah, sebagai Penasihat Utama.

Pengalaman beliau dalam bidang perundangan pekerjaan dan pengurusan perhubungan perusahaan dijangka membantu meningkatkan mutu panduan yang diberikan kepada majikan ketika berhadapan isu berkaitan tenaga kerja.

Bagi kes yang memerlukan penelitian lebih mendalam, termasuk semakan dokumen dan penyediaan surat rasmi, HRXPERT turut menawarkan khidmat konsultasi profesional mengikut keperluan serta skop kes, dengan caj dimaklumkan terlebih dahulu.

Norazlina berkata, pengurusan sumber manusia yang teratur bukan sahaja penting untuk melindungi kepentingan perniagaan, malah membantu mewujudkan hubungan kerja yang lebih harmoni antara majikan dengan pekerja.

Bagaimanapun, Talian Kecemasan HR berfungsi sebagai saluran panduan awal dan tidak menggantikan nasihat perundangan khusus, manakala maklum balas yang diberikan tertakluk kepada waktu operasi HRXPERT.

Majikan yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 019-404 3821 atau 012-783 6774, menghantar e-mel ke [email protected] atau melayari laman web https://hrxpert.com.my.

Scroll to Top