am@hmetro.com.my
SEBAGAI penyanyi dan guru vokal, Idayu Yaakob sangat teliti dalam memilih pasangan duet untuk menyanyikan sesebuah karya yang dihasilkan.
Apatah lagi, pemilik nama sebenar Nur Farah Idayu Yaakob, 41, sangat mementingkan kepuasan dalam setiap karya sejak berkecimpung dalam bidang nyanyian selama dua dekad sejak 2003.
Namun, apabila digandingkan dengan penyanyi yang juga guru vokal, Adeep Nahar menerusi single duet terbaharu, Bercanda Emosi, Idayu yakin dengan bakat dan kemampuan penyanyi berkenaan.
Secara peribadi, Idayu mengakui berdepan cabaran untuk berduet bersama Adeep kerana mereka berkolaborasi buat julung kalinya.
“Saya pun berasa tercabar untuk berduet dengan Adeep. Bila masuk ke studio bersama Adeep untuk proses rakaman lagu duet itu, memang ada rasa takut sikit sebab kemampuan vokalnya.
“Tapi, saya yakin kami boleh ‘blend’ (bentuk keserasian) bersama kerana masing-masing memang peminat tegar genre R&B,” kata penyanyi yang digilap menerusi program Akademi Fantasia musim ketiga itu (AF3) ketika ditemui pada sesi pra dengar single Bercanda Emosi, baru-baru ini.
Idayu berkata, dia menerima tawaran untuk menyanyikan lagu Bercanda Emosi ciptaan komposer terkenal, Helen Yap dan liriknya oleh SlenFadzil kerana tertarik dengan genre berkenaan.
“Bila Helen bagi lirik dan buat demo, saya terus cakap, okay saya nak nyanyi lagu ini kerana ia ‘gaya’ saya dan tak pernah dapat tawaran menyanyikan lagu sebegitu, sebelum ini.
“Selepas itu, Helen cakap, dia kena cari pasangan duet saya dan pengurus Adeep iaitu Aszuad yang cadangkan namanya kerana dia pun dalam kelompok genre R&B sebelum kami terus setuju,” kata bekas juara Akademi Fantasia Megastar pada 2017 itu.
Manakala, Adeep pula menyifatkan single duet Bercanda Emosi bersama Idayu antara lagu yang paling sukar dibawakannya.
Katanya, cabaran utama bukan pada lirik lagu, sebaliknya melodi yang sentiasa berubah pada hampir setiap bait sehingga memerlukan fokus tinggi ketika proses rakaman.
“Saya akui lagu ini sangat mencabar untuk dinyanyikan kerana ia dicipta oleh Helen yang kita tahu kreativitinya dalam bidang muzik sangat luar biasa.
“Sampai hari rakaman, saya cakap dengan Helen, saya takut nak rakam lagu ini sebab risau tak dapat capai apa yang pencipta mahukan. Karya seseorang itu tinggi nilainya dan saya hormat karya Helen.
“Rasa macam lagu ini bukan dibuat untuk orang layan saja-saja, tapi seolah-olah memberi ruang sepenuhnya kepada Helen untuk mengetengahkan kreativiti dan kemahiran muziknya,” katanya.
Katanya, dia juga berasa gementar ketika menerima tawaran menyanyikan lagu berkenaan apatah lagi perlu berduet dengan Idayu.
“Masa dapat lagu, saya terus fikir, betul ke saya nak nyanyi lagu ini? Nasib baik masa menyanyi saya tengok tembok, tak tengok muka Idayu,” katanya.
Dalam pada itu, Helen berkata, lagu duet genre R&B masih kurang dihasilkan di Malaysia kerana ramai komposer dan artis lebih berminat dengan lagu pop dan balada.
“Saya dan SlenFadzil cuba mencari kelainan dan berharap Bercanda Emosi akan dapat mewarnai dunia muzik tempatan, selain sesuai juga dinyanyikan di majlis-majlis resepsi perkahwinan,” katanya.
Helen dan SlenFadzil sebelum ini pernah bergabung dalam beberapa lagu seperti Kembalikan Indah bagi dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza serta Sinar Mata Hati dan Gelita untuk Ernie Zakri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




