SETIAP manusia mempunyai perjalanan hidup yang tersendiri. Ada yang memulakan kehidupan dengan penuh perancangan, manakala sebahagian yang lain sekadar mengikut arus tanpa mengetahui arah tujuan. Hakikatnya, kehidupan bukan sekadar tentang sejauh mana seseorang mampu melangkah, tetapi ke mana langkah tersebut hendak ditujukan. Tanpa matlamat yang jelas, seseorang mungkin bekerja keras, menghabiskan banyak masa dan mengorbankan pelbagai perkara, namun akhirnya mendapati bahawa segala usaha tersebut tidak membawa dirinya kepada kehidupan yang benar-benar diimpikan.
Menetapkan matlamat dan sasaran antara asas penting dalam membina kehidupan yang terancang, bermakna dan berjaya.
Kedua-duanya saling berkaitan dan perlu ditentukan sebelum seseorang memulakan sesuatu perjalanan kehidupan sama ada dalam pendidikan, kerjaya, kekeluargaan mahupun pembangunan diri.
Dalam perspektif Islam, kehidupan manusia bukan suatu perjalanan tanpa tujuan. Setiap manusia mempunyai tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT dan akan dipersoalkan tentang bagaimana kehidupan yang dianugerahkan kepadanya dimanfaatkan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dialah yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Mulk ayat 2)
Ayat ini menjelaskan kehidupan mempunyai tujuan yang lebih besar daripada sekadar mengejar kesenangan duniawi.
Kepentingan menetapkan matlamat juga dapat difahami melalui tuntutan Islam supaya manusia sentiasa menilai perjalanan kehidupannya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah disediakannya untuk hari esok. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hashr ayat 18)
Walaupun ayat ini secara khusus menekankan persediaan untuk kehidupan akhirat, pengajarannya turut mendidik manusia supaya mempunyai kesedaran terhadap masa depan.
Dalam konteks pendidikan, pelajar yang menetapkan matlamat sejak awal mempunyai arah yang lebih jelas ketika menghadapi cabaran pembelajaran. Seorang pelajar yang bercita-cita menjadi doktor, pendidik, jurutera atau ahli akademik perlu mengetahui keperluan ilmu, kemahiran dan pembentukan sahsiah yang diperlukan. Cita-cita itu diterjemahkan kepada sasaran yang lebih khusus, seperti pencapaian akademik, penguasaan bahasa, kemahiran komunikasi serta pengurusan masa yang berkesan.
Bagaimanapun, menetapkan matlamat tidak bermaksud seseorang hanya perlu memasang angan-angan yang tinggi. Matlamat yang baik mestilah disertai tindakan yang realistik, kemampuan diri serta kesediaan menghadapi kesukaran.
Seseorang Muslim dituntut mengenal pasti perkara yang bermanfaat, berusaha mencapainya serta tidak mudah menyerah apabila berhadapan kesukaran. Pada masa sama, keyakinan terhadap pertolongan Allah menjadi asas kekuatan rohani sepanjang perjalanan itu.
Penetapan matlamat juga berperanan membentuk disiplin dan ketahanan diri.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya manusia tidak memperoleh melainkan apa yang telah diusahakannya.” (Surah al-Najm ayat 39)
Ayat ini menegaskan kepentingan usaha dan tanggungjawab manusia terhadap amalannya. Dalam konteks pembangunan diri, pengajaran itu mengingatkan bahawa kejayaan tidak boleh dibina melalui harapan kosong. Namun, usaha juga bukan jaminan bahawa setiap hasil duniawi akan berlaku tepat seperti yang dirancang kerana segala ketentuan akhirnya berada dalam kekuasaan Allah SWT.
Selain usaha, niat ialah asas penting yang menentukan nilai sesuatu matlamat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap amalan bergantung pada niat, dan sesungguhnya setiap orang memperoleh balasan berdasarkan apa yang diniatkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Dalam usaha merancang masa depan, seseorang juga perlu memahami hubungan antara perancangan dan tawakal. Islam tidak mengajar manusia menyerahkan segala urusan kepada takdir tanpa berusaha. Sebaliknya, manusia dituntut membuat pertimbangan, mendapatkan nasihat, melaksanakan tindakan dan menyerahkan keputusan akhirnya kepada Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud: “Kemudian apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Surah ali Imran ayat 159)
Ayat ini memperlihatkan bahawa keazaman dan tawakal bukanlah dua perkara yang bertentangan. Perancangan menunjukkan kesungguhan manusia melaksanakan tanggungjawabnya, manakala tawakal mencerminkan pengakuan bahawa hasil sesuatu usaha tetap tertakluk kepada kehendak Allah SWT.
Kesimpulannya, menetapkan matlamat dan sasaran sebelum memulakan sesuatu perjalanan hidup langkah penting untuk membentuk kehidupan yang lebih terarah. Matlamat memberikan tujuan, sasaran menentukan tindakan, manakala disiplin dan istiqamah memastikan usaha dapat diteruskan. Dalam Islam, semua unsur tersebut perlu dipandu oleh niat yang ikhlas, usaha yang bersungguh-sungguh dan tawakal kepada Allah SWT.
Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan
© New Straits Times Press (M) Bhd




