am@hmetro.com.my
Johor Bahru: “Sepatutnya kami sambut ulang tahun kelahirannya minggu depan, tetapi hasrat itu tidak kesampaian apabila dia pergi buat selama-lamanya.”
Itu luahan Norhidayah Yacob, 30, ibu kepada Mohammad Adib Rizqy Mohammad Fauzi, 7, yang maut selepas terjatuh dari tingkat 10 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Melana Fasa 2, Tampoi, di sini, hari ini.
Menurut Norhidayah, mereka sekeluarga mahu meraikan ulang tahun kelahiran anak kedua daripada empat beradik itu semalam, namun tidak dapat berbuat demikian kerana suaminya, Mohammad Fauzi Zurin, 31, yang bekerja sebagai kelindan lori belum menerima gaji.
“Kami dah merancang untuk sambut kelahiran anak saya pada Selasa depan kerana hari itu tarikh kelahiran suami juga.
“Bagaimanapun, kami reda dengan ketentuan Ilahi. Anak saya pun pergi pada hari Jumaat yang mulia,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Menurut suri rumah itu, ketika kejadian, dia sedang mengemas rumah, manakala suaminya keluar bekerja.
Dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa Mohammad Adib Rizqy selepas dimaklumkan oleh kawan anaknya.
“Pada mulanya saya ingat kawan anak saya hanya main-main. Apabila saya lihat dari tingkat atas, nampak anak saya sudah berada di (tingkat) bawah.
“Saya terus ke (tingkat) bawah dan menggigil apabila lihat anak saya sudah tidak bergerak sebelum menghubungi suami saya untuk memaklumkan kejadian,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mangsa yang juga murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Tampoi Utama disahkan meninggal dunia di lokasi.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini bagi proses bedah siasat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




