PRN Melaka: Zahid beri bayangan Ab Rauf kekal Ketua Menteri jika BN menang

PRN Melaka: Zahid beri bayangan Ab Rauf kekal Ketua Menteri jika BN menang

am@hmetro.com.my

Jasin: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan Melaka akan terus diterajui Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sekiranya Barisan Nasional (BN) dan rakan strategiknya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keyakinan itu bersandarkan potensi besar Ab Rauf yang dikenalinya sejak Ketua Menteri Melaka itu berkhidmat sebagai Setiausaha Kerja UMNO.

“Benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau. Itulah dia Datuk (Seri) Rauf.

“Insya-Allah, Datuk Rauf, walaupun kita order barang online, barang itulah juga yang Melaka akan dapat,” katanya ketika berucap melancarkan Jentera BN Parlimen Jasin di Dewan Alamanda, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ab Rauf; Ketua UMNO Bahagian Jasin merangkap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, semua jentera BN diminta memberikan sokongan penuh kepada calon PAS dan rakan sekutunya yang bertanding di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN kali ini.

Katanya, kerjasama yang terjalin itu perlu diterjemahkan menerusi sokongan jentera dan undi bagi memastikan calon kedua-dua pihak memperoleh kemenangan.

Beliau berkata, sebagai balasan, jentera dan pengundi PAS perlu memberikan sokongan kepada calon BN yang bertanding di 21 DUN.

“Persefahaman itu perlu disusuli komitmen kedua-dua pihak untuk memastikan jentera dan pengundi masing-masing memberikan sokongan kepada calon yang dipersetujui.

“Pada kali ini, janji mereka kepada kita, jentera dan undi mereka akan diberikan kepada calon BN yang bertanding di 21 DUN di Melaka.

“Janji kita kepada mereka pula, mereka akan bertanding di tujuh DUN, saya minta semua jentera dan juga pengundi UMNO serta BN supaya memberikan sokongan kepada mereka bagi memastikan kerjasama yang baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top