Bapa Kmy Kmo meninggal dunia

Bapa Kmy Kmo meninggal dunia

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Bapa kepada penyanyi rap dan komposer, Kmy Kmo, Mohamed Azmaili Ismail meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang pada jam 2.38 pagi, hari ini.

Berita duka itu dikongsikan sendiri oleh Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim Mohamed Azmaili menerusi satu hantaran di akaun Threads miliknya.

“Salam semua, saya nak maklumkan, abah saya Mohamed Azmaili Ismail baru sahaja meninggalkan kita semua pada jam 2.38 pagi tadi di HTAA.

“Saya di HTAA sedang menyebarkan berita ini kepada semua kenalan Allahyarham dan diminta panjangkan berita ini kepada semua adik-beradik, ahli keluarga, dan juga kenalan-kenalan Allahyarham,” tulisnya.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Gong Nekara dan 7 Nasihat itu turut memohon agar orang ramai mendoakan kesejahteraan roh arwah bapanya.

“Innalillahiwainnalilahirajiun. Apa-apa maklumat terkini saya akan maklumkan dari semasa ke semasa,” tulisnya.

Ruangan komen di hantaran berkenaan dibanjiri ucapan takziah daripada peminat serta rakan artis yang turut berduka atas kehilangan itu.

Terdahulu, pada 17 Oktober lalu, Kmy berkongsi bapanya berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat serangan jantung serius dan komplikasi kesihatan lain.

Menurutnya, bapanya yang sudah menjalani rawatan dialisis hampir 23 tahun mengalami penurunan fungsi jantung yang semakin merosot dari hari ke hari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top