PETALING JAYA: Gelaran beregu lelaki berada dalam tangan wakil Malaysia, apabila Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani bertembung sesama sendiri pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Tremblay-en-France, Perancis, hari ini.
Wei Chong-Kai Wun yang menghuni ranking No. 11 dunia menewaskan beregu muda Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 21-16, 21-15 dalam masa 34 minit pada separuh akhir, awal pagi tadi.
Kemenangan itu sekali gus membuka peluang kepada Wei Chong-Kai Wun membalas dendam di atas kekalahan mereka kepada gandingan No. 14 dunia tersebut pada suku akhir Terbuka Australia, tahun lalu.
Memuatkan artikel berkaitan…
Apa yang lebih menarik, pada perlawanan akhir, beregu bimbingan Herry Iman Pierngadi tersebut yang kali pertama mara ke final kejohanan berstatus Super 750 itu akan bertembung dengan rakan senegara, Sze Fei-Izzuddin.
Wei Chong berkata, dia bermain dalam keadaan kecederaan lutut masih belum sembuh sepenuhnya.
“Saya masih belum pulih daripada kecederaan, Kai Wun banyak melindungi saya sepanjang permainan,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan.
Kai Wun pula memberitahu, selepas kecewa tersingkir di pusingan awal pada Terbuka Denmark, minggu lalu, mereka berjaya menebus kehampaan itu di Perancis.
“Mungkin tidak bermain pada suku akhir, semalam, memberi kelebihan kepada kami dari segi stamina,” katanya mengulas mengenai kemenangan percuma yang diberikan rakan seperjuangan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Sze Fei-Izzuddin pula yang merupakan pasangan No. 5 dunia membenam satu lagi beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 22-20, 21-9 dalam masa 31 minit.
Kejayaan itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin melebarkan rekod pertemuan ke atas Leo-Daniel kepada 3-0. – UTUSAN




