Kampung Nanmoku paling berisiko untuk lenyap di Jepun sasar penduduk asing tambah populasi

Kampung Nanmoku paling berisiko untuk lenyap di Jepun sasar penduduk asing tambah populasi

TOKYO – Sebuah perkampungan di Jepun yang berdepan ancaman kepupusan akibat populasi menua kini mengharapkan kehadiran penduduk asing bagi menghidupkan semula komuniti berkenaan.

Perkampungan di Wilayah Gunma, Nanmoku yang hanya mempunyai kira-kira 1,300 penduduk menerima kunjungan Datuk Bandar Belen, Lina Arista Lopez dari Peru bersama dua wanita muda bagi meneroka potensi kerjasama menerusi perjanjian bandar berkembar dimeterai tahun lalu.

Kunjungan itu termasuk ke pusat jagaan warga emas.

Pelajar berusia 19 tahun, Wendy Sangama menyifatkan Nanmoku sebagai tempat menarik untuk didiami.

“Sejak tiba di sini, saya mula mengagumi segala-galanya tentang tempat ini,” katanya.

Nanmoku yang dianggap kawasan perbandaran tertua di Jepun mempunyai kira-kira 70 peratus penduduk berusia 65 tahun ke atas.

Malah, laporan badan pemikir pada 2014 menyifatkannya sebagai antara kawasan paling berisiko untuk lenyap.

Keadaan itu dapat dilihat di sepanjang jalan utama berhampiran Sungai Nanmoku yang dipenuhi rumah dan kedai, yang mana sebahagiannya terbiar bahkan kawasan berkenaan kelihatan lengang ketika dikunjungi.

Datuk Bandar Nanmoku, Saijo Hasegawa berkata, kerjasama dengan Belen diharap dapat menarik golongan muda dari Peru untuk menetap di perkampungan itu.

Walaupun pada pandangan beliau, mekanisme bagi membolehkan mereka memperoleh status pemastautin masih belum jelas.

Beliau menambah, idea kerjasama itu tercetus hasil pertemuan secara kebetulan dengan seorang ahli perniagaan Jepun-Peru, selain keperluan mendesak untuk menarik lebih ramai penduduk tanpa mengira negara asal.

“Kami perlu meluaskan pandangan dan menarik lebih ramai penduduk, termasuk warga asing.

“Tanpa mereka, kita mungkin akan sampai ke tahap perkhidmatan pengangkutan awam juga terpaksa dihentikan,” ujarnya lagi.

Jepun kini berdepan kekurangan tenaga kerja akibat populasi menua, namun penentangan terhadap imigresen semakin meningkat sehingga mendorong Perdana Menterinya, Sanae Takaichi menggesa peraturan lebih ketat terhadap warga asing.

Hasegawa berkata, kira-kira 60 penduduk meninggal dunia setiap tahun di Nanmoku, sedangkan hanya dua atau tiga bayi dilahirkan dalam tempoh sama.

Selain itu, peluang pekerjaan yang terhad menyukarkan usaha menarik golongan muda.

Berbeza dengan Nanmoku, Belen yang terletak di daerah Iquitos, timur laut Peru, mempunyai populasi lebih muda dengan median umur sekitar 27 tahun dan dihuni lebih 60,000 penduduk, kebanyakannya bergantung pada perdagangan tidak formal serta pertanian. 

Lopez memaklumkan, keadaan ekonomi yang mencabar menyebabkan golongan muda cenderung mencari peluang kehidupan lebih baik di tempat lain.

“Kami berdepan realiti yang sukar di daerah Belen. Tiada pekerjaan,” katanya.

Bagaimanapun, penduduk baharu dijangka berdepan cabaran termasuk halangan bahasa dan keperluan memiliki kenderaan sendiri.

Namun, penduduk tempatan seperti Hiroshi Ihara, 87, berharap kehadiran golongan muda dari luar negara dapat membantu memastikan kelangsungan komuniti itu.

“Populasi penduduk Jepun semakin berkurangan.

“Saya fikir adalah lebih baik jika penduduk dari luar negara datang ke sini dan membantu kami mengikut kemampuan mereka,” jelasnya. – Agensi

Scroll to Top