Phillip Island: Pencabar kejuaraan dunia, Jorge Martin, disahkan tidak akan menyertai perlumbaan MotoGP Australia hari ini selepas tulang lengannya retak, sekali gus menjejaskan peluangnya memburu gelaran dunia.
Pelumba Aprilia dari Sepanyol itu terjatuh pada kelajuan tinggi ketika perlumbaan pecut semalam, ketika bersaing dengan Marc Marquez yang akhirnya muncul juara, untuk merebut kedudukan pendahulu pada pusingan kelapan sebelum tergelincir ke kawasan batu kerikil.
Dia dibawa ke pusat perubatan litar selepas kemalangan itu. Aprilia kemudian mengesahkan Martin “diisytiharkan tidak cergas” untuk berlumba hari ini.
Pada awalnya, terdapat kebimbangan Martin mengalami dua keretakan tulang lengan berhampiran pergelangan tangan dan mungkin perlu pulang ke Sepanyol untuk menjalani pembedahan.
Bagaimanapun, hasil imbasan menunjukkan hanya satu keretakan dan kedudukan tulang masih sejajar tanpa peralihan.
“Kecederaan yang disahkan hanyalah keretakan tanpa peralihan pada bahagian hujung tulang radius.
“Sehubungan itu, pelumba berkenaan tidak akan pulang ke Sepanyol dan akan menjalani rawatan yang diperlukan dalam beberapa hari akan datang,” menurut kenyataan pasukan itu.
Selepas GP Australia, saingan musim ini berbaki empat pusingan, dengan GP Malaysia berlangsung hujung minggu depan.
Kemenangan Marquez bersama Ducati dalam perlumbaan pecut meletakkannya 10 mata di depan Martin dalam kedudukan kejuaraan menjelang perlumbaan utama terakhir MotoGP di litar pesisir pantai Phillip Island pada Ahad.
Bagaimanapun, perlumbaan itu masih diragui selepas tiada sebarang aksi di litar setakat ini berikutan hujan dan jarak penglihatan yang kurang baik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




