Tindakan membuat laporan polis terhadap aktivis, Zainal Rashid Ahmad (ZRA) menjadi persoalan apabila ada pihak ingin mengetahui sebab di sebalik laporan tersebut dilakukan
Laporan polis adalah ruang awam
Menjawab persoalan tersebut, Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Mohamad Zamir Ghazali tampil memberikan penjelasan mengenai asas laporan polis tersebut, termasuk beberapa tuntutan berkaitan kebajikan pesawah yang dibangkitkan ZRA.
Menurut Zamir, laporan polis merupakan ruang awam dan pihak yang dilaporkan juga mempunyai ruang untuk memberikan penjelasan balas.
Beliau turut berpandangan bahawa laporan berkenaan dibuat bukan semata-mata kerana ZRA mengemukakan tuntutan kepada kerajaan, sebaliknya berkaitan dakwaan penggunaan data dan fakta yang tidak tepat.
“Sejak Mat Sabu jadi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan – dah berpuluh memorandum yang diterima, namun tak pernah ada sesiapa membuat laporan polis ke atas penghantar memorandum.”
“Jawapannya mudah – kerana ada data dan fakta ZRA yang salah. Salah itu pula diulang-ulang sebutan. Ia tidak lagi menjadi satu pendedahan tetapi kelihatan naratif penghukuman awam kepada kerajaan,” ujarnya.
Tabung Bencana Tanaman Padi sudah selesai dibayar
Zamir turut menyentuh tuntutan pampasan kepada pesawah di Pendang, Kedah, yang mengalami kerugian akibat dua kejadian banjir pada 2023.
Menurutnya, semakan kerajaan mendapati bantuan kewangan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi kepada pesawah yang terjejas akibat bencana, termasuk banjir, telah selesai dibayar kepada pesawah terlibat.

Selain itu, beliau menjelaskan tuntutan pampasan RM50 juta berhubung kelewatan Baja 3 perlu dinilai berdasarkan kajian terperinci bagi mengenal pasti kesan sebenar terhadap pengeluaran padi.
“Katakan pesawah A dalam musim lepas dapat 3 tan dan musim ini dia dapat 4 tan, apakah dia layak dapat pampasan?”
Disebabkan itu, beliau mempersoalkan asas tuntutan berkenaan sekiranya kerugian yang didakwa berlaku mungkin berpunca daripada faktor lain seperti kemarau, masalah bekalan air, perosak atau rumput.
Katanya, kajian perlu dilakukan terlebih dahulu kerana sebarang pampasan melibatkan penggunaan wang rakyat.

Desak tak salah tapi kena faham keseluruhan ekosistem
Beliau juga membangkitkan tuntutan supaya kerajaan melunaskan hutang pesawah kepada broker atau pengilang yang disebut berjumlah RM200 juta.
Ujarnya, kerajaan perlu menilai keberkesanan bantuan seumpama itu dan memastikan masalah hutang tidak berulang selepas wang rakyat digunakan untuk melupuskannya.
“Nak mendesak tak salah tapi kenalah faham dulu keseluruhan ekosistem sebelum nak menuduh Kementerian lepas tangan,” katanya.
Dalam pada itu, Zamir menjelaskan laporan polis yang dibuat oleh Ahli Parlimen, Abbas Azmi, bertujuan menggalakkan masyarakat mengamalkan prinsip tabayyun, iaitu menyemak dan memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayainya.
“Inilah yang menjadi asas laporan polis dari sahabat saya YB Abbas Azmi. Beliau mahu masyarakat beramal dengan tabayyun. Bukan tibaiyun,”
Mengulas mengenai pertemuannya yang bakal berlangsung bersama ZRA dalam sebuah podcast, Zamir mendedahkan kedua-dua pihak akan menggunakan Laporan MyCC 2024 sebagai rujukan bersama, meskipun tafsiran terhadap laporan itu mungkin berbeza.
Sumber: Facebook Zamir Ghazali




