'Bukan Messi, saya pemain biasa' – Arif Aiman

'Bukan Messi, saya pemain biasa' – Arif Aiman

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi tidak ambil pusing dengan gelaran ‘Messi Malaysia’ yang diberikan kepadanya, sebaliknya menganggap dirinya sebagai pemain biasa yang bergantung kepada kerja keras dan disiplin.

Pemain berusia 24 tahun itu tampil dalam dokumentari dihasilkan pencipta kandungan YouTube dari Britain, Manny (Emmanuel Brown), yang berkunjung ke fasiliti Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim serta pusat latihan kelab berkenaan.

Ketika Manny membandingkannya dengan Lionel Messi, Arif hanya ketawa sambil menolak gelaran berkenaan.

“Bukan Messi. Orang hanya panggil saya Messi, bukan pemain itu.

“Saya bermain seperti pemain biasa… sentiasa konsisten. Kerja keras, semangat, semuanya,” kata Arif.

Ketika ditanya mengenai kekuatan utamanya di atas padang, Arif menyenaraikan keupayaannya dalam situasi satu lawan satu serta membolosi pertahanan lawan.

“Bagi saya, ia adalah perebutan bola, menggelecek, satu lawan satu, (dan) hantaran bantuan,” katanya.

Perkembangan Arif daripada prospek akademi kepada antara bakat serangan utama bola sepak Asia turut mendapat pujian penyerang JDT, Bergson da Silva.

Bergson menyifatkan pemain sayap itu sebagai contoh kepada pemain muda yang sedang melalui sistem pembangunan kelab.

“Saya rasa Arif adalah contoh kepada mereka semua. Ini contoh yang sangat penting kerana dia datang dari situ.

“Ketika saya mula datang ke sini, dia hanya seorang pemain muda. Dan hari ini, maksud saya sekarang, dia adalah antara pemain yang sangat penting dalam skuad kami,” kata Bergson.

Sehingga Oktober 2025, Arif sudah menjaringkan 61 gol dan mencipta 66 bantuan gol dalam 170 penampilan bersama JDT, sekali gus muncul pemain tempatan dengan jumlah jaringan tertinggi dalam sejarah kelab itu.

Dia juga sudah menjaringkan lapan gol dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top