Tiga maut dalam kemalangan di Bukit Bauk

Tiga maut dalam kemalangan di Bukit Bauk

am@hmetro.com.my

Dungun: Tiga sekeluarga termasuk suami isteri maut, selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 90, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, di Bukit Bauk, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa maut ialah Mohamad Zulkifli Ishak, 32; isterinya, Norshila Zali, 36, dan adik Muhamad Zulkifli iaitu Muhammad Alif Syukri, 18.

Ketiga-tiganya menaiki Nissan Grand Livina.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paka, Norzahari Mohd Nor berkata, siasatan mendapati ketika kejadian, Mohamad Zulkifli bersama isterinya itu yang beralamat di Kampung Pasir Era, Kuala Krai Kelantan, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka, selepas menjemput adiknya Muhammad Alif Syukri yang belajar di Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) Kuantan.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, MPV itu dikatakan berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Dua mangsa di dalam MPV terbabit disahkan meninggal di tempat kejadian, sementara seorang lagi mangsa di dalam kenderaan sama, yang parah, dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum disahkan meninggal dunia di hospital terbabit ,” katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa di dalam sebuah lagi kenderaan terbabit kemalangan itu, turut cedera, dan dihantar ke hospital sama untuk mendapat rawatan.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top