am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan kesediaan BERSATU untuk terus kekal sebagai parti anggota gabungan itu susulan beberapa perkembangan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mengemukakan persoalan itu sebagai reaksi terhadap kenyataan BERSATU yang mempersoalkan keabsahan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) PN yang dijadualkan berlangsung malam ini.
“Selepas apa yang berlaku sejak PRN Negeri Sembilan, ada hati lagi ke BERSATU dengan PN?” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat PAS, di sini, malam ini.
Terdahulu, BERSATU dilaporkan mempersoalkan keabsahan mesyuarat tergempar MT PN susulan pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), Selasa lalu.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilaporkan berkata perintah penggantungan pelaksanaan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak boleh dianggap secara automatik memulihkan pendaftaran PN.
Sementara itu, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS memberi jaminan BERSATU tidak dihalang daripada menyertai mesyuarat tergempar MT PN malam ini.
“Dia boleh buat (menghantar wakil BERSATU menyertai mesyuarat MT PN). Kalau BERSATU mahu hantar seorang wakil pun tak mengapa, tetapi terpulang kepada dia,” katanya yang juga Menteri Besar Terengganu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




