'Jerebu dah tak ada ke? Ya Allah, Alhamdulillah'

'Jerebu dah tak ada ke? Ya Allah, Alhamdulillah'

Kuala Lumpur: Selepas sekian lama terlindung di sebalik jerebu, langit Kuala Lumpur yang kembali cerah membawa keterujaan kepada warga maya apabila pemandangan di ibu negara, termasuk kawasan tanah tinggi di kejauhan dapat dinikmati semula dengan lebih jelas.

Tinjauan Bernama dalam platform media sosial Threads mendapati pengguna berkongsi rasa syukur dan teruja melihat perubahan keadaan langit hari ini, dengan ada yang menyedari perbezaan berkenaan sebaik sahaja melihat ke luar rumah.

Seorang pengguna Threads, @tkletchumy berkongsi pengalaman apabila anak kecilnya menyedari keadaan jerebu yang semakin reda sebelum dia sendiri melihat perubahan ketara langit Kuala Lumpur dari balkoni kediamannya.

“Hari ini, anak kecil saya berkata, ‘Ibu, tiada jerebu!’ Saya menjawab, ‘Yalah tu.’ Ya ibu cuba lihat di luar, saya pun ke balkoni dan melihat langit Kuala Lumpur yang paling cerah pernah saya saksikan sejak sekian lama. Keajaiban apakah ini?” menurut hantaran itu.

Pengguna yang menggunakan nama akaun @wawerlah turut meluahkan rasa syukur apabila dapat melihat semula pemandangan Genting Highlands dengan jelas selepas sekian lama.

“Jerebu dah tak de ke? Ya Allah, Alhamdulillah. Pemandangan cerah pagi ni. Siap nampak Genting Highlands lagi … dah lama sangat rasanya tak nampak macam ni,” katanya.

Sementara itu, @zevtam menarik perhatian apabila mendakwa kualiti udara Kuala Lumpur pada pagi ini lebih baik berbanding New Zealand.

“Korang tahu tak, kualiti udara KL pagi tadi lagi bagus daripada New Zealand, serius,” menurut hantaran dalam Threads miliknya.

Keterujaan sama turut dikongsi pengguna Threads @kinsyahir yang menyifatkan keadaan langit kembali cerah sebagai peluang untuk melakukan aktiviti luar selepas lebih tiga bulan berdepan jerebu.

“Akhirnya boleh buat outdoor activity lepas 3 bulan lebih hidup dalam jerebu,” katanya.

Keadaan jerebu yang melanda ibu kota sebelum ini menjejaskan jarak penglihatan serta mengehadkan aktiviti luar dalam kalangan masyarakat.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar, dua stesen pemantauan di Kuala Lumpur merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana setakat 7 malam ini, iaitu Batu Muda (84) dan Cheras (66).

Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top