Trend berlian makmal ubah fokus kepada rekaan khusus

Trend berlian makmal ubah fokus kepada rekaan khusus

Mukadimah

Industri barang kemas halus yang secara tradisinya berpusat kepada saiz, kejelasan dan berat karat intan kini menyaksikan perubahan dinamik mengikut arus pemodenan pasaran.

Perkembangan teknologi berlian makmal telah membuka ruang aksesibiliti yang lebih luas kepada pengguna untuk memiliki batuan permata saiz besar dan berwarna padat pada harga yang jauh lebih berpatutan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Situasi ini memindahkan fokus pelanggan daripada sekadar saiz batu permata kepada aspek keunikan rekaan, pertukangan halus dan pembuat kraf tersendiri.

Wartawan Utusan Malaysia, SABRINA ZULKIFLI menemubual Pengasas Bersama BeonDiamond, GARY NG, bagi mengupas evolusi cita rasa pengguna tempatan, strategi perbezaan pasaran, serta visi jenama dalam mendepani industri barang kemas tanah air.

 

UTUSAN: Industri barang kemas halus secara tradisinya berlegar sekitar saiz, kejelasan dan karat sesebuah berlian. Pada pandangan anda, apakah perubahan terbesar yang diperhatikan dalam kalangan pengguna di Malaysia hari ini?

GARY: Pengguna pada hari ini adalah jauh lebih terdidik dan bermaklumat berbanding masa-masa lalu.

Walaupun aspek 4C (karat, potongan, kejelasan dan warna) masih diberi perhatian, pembeli tidak lagi membuat keputusan pembelian berdasarkan saiz karat semata-mata.

Kehadiran berlian buatan makmal menjadikan saiz batu lebih besar, bentuk fantasi serta berlian berwarna seperti merah jambu, biru dan kuning jauh lebih mudah diakses oleh pasaran awam.

Oleh itu, perhatian pembeli kini lebih terarah kepada nilai rekaan, kualiti pertukangan, serta kebolehan penyesuaian.

Di Beon Diamond, perkhidmatan rekaan khusus dalam talian merupakan salah satu kepakaran utama kami yang dilakukan secara dalaman.

Keupayaan ini membolehkan pelanggan mencipta barang kemas yang mencerminkan personaliti dan kisah hidup mereka sendiri berbanding membeli koleksi sedia ada di pasaran.

Elemen ketelusan juga menjadi faktor kritikal di mana pelanggan mahu memahami secara terperinci nilai sebenar barangan yang dibeli.

Secara keseluruhannya, pasaran hari ini mencari barang kemas yang indah, bermakna dan direka khusus untuk mereka berbanding sekadar memiliki berlian bersaiz paling besar.

 

Apabila berlian saiz besar dan berkualiti tinggi semakin mudah diakses, bagaimanakah jenama barang kemas boleh terus membezakan diri mereka dalam pasaran yang semakin kompetitif?

Apabila kualiti berlian semakin mudah didapati di mana-mana, elemen rekaan menjadi faktor pembeza paling utama dalam memikat hati pembeli.

Di Beon Diamond, kami percaya industri ini bukan sekadar mengenai jualan barang kemas semata-mata, sebaliknya merangkumi keseluruhan pengalaman pelanggan.

Pengalaman ini meliputi sesi konsultasi rekaan peribadi, ketelusan penentuan harga, sehinggalah kepada perkhidmatan sokongan selepas jualan.

Pengguna moden juga amat menghargai privasi dan eksklusiviti semasa membuat keputusan pembelian.

Sebab itulah butik kami beroperasi berasaskan janji temu sahaja bagi memberikan persekitaran peribadi yang selesa berbanding bilik pameran barang kemas tradisional.

Pada akhirnya, pelanggan akan sentiasa mengingati tahap layanan dan pengalaman peribadi yang diterima sama seperti nilai barang kemas yang mereka beli.

 

Melihat ke hadapan, bagaimanakah anda melihat pasaran barang kemas halus di Malaysia berkembang dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang?

Saya percaya pasaran akan terus bergerak ke arah penyesuaian rekaan, hasil kraf yang lebih kemas dan keputusan pembelian yang lebih bijak.

Pengguna membuat penyelidikan yang sangat mendalam sebelum membeli kerana mahukan barang kemas yang bersifat peribadi, praktikal serta mempunyai nilai sentimental tersendiri.

Bagi mendepani trend ini, Beon Diamond terus melabur dalam rekaan asli, pembuat kraf tersendiri dan pendidikan pengguna bagi membantu mereka membuat keputusan yang tepat.

Kami yakin bahawa aspek kepercayaan, ketelusan dan rekaan terbilang akan menjadi tiang seri utama industri pada tahun-tahun mendatang.

 

Trend fesyen bertukar dengan sangat pantas, sedangkan barang kemas halus diharapkan kekal sepanjang zaman. Bagaimanakah anda membezakan antara trend singkat dengan rekaan yang tahan lama?

Di Beon Diamond, kami memandang trend fesyen semasa sebagai sumber wawasan dan bukannya panduan mutlak.

Semasa membangunkan sesuatu koleksi, fokus utama kami adalah memastikan rekaan tersebut berakar pada nilai emosi, selesa dipakai dan mempunyai pertukangan teras yang kekal relevan.

Pengaruh kontemporari mungkin memberi inspirasi awal, tetapi ketahanan jangka panjang hadir daripada rekaan yang terus dicintai walaupun selepas kitaran trend berlalu.

 

Pengguna hari ini semakin menggemari barang kemas yang selesa, serba guna untuk kegunaan harian, tetapi tetap membawa makna peribadi. Bagaimanakah Beon Diamond mengimbangi aspek estetika, fungsi dan penceritaan ini?

Kami percaya bahawa barang kemas yang hebat mestilah menggabungkan keindahan, keselesaan dan makna tersendiri.

Setiap rekaan direka khas dengan mengambil kira aspek kebolehan dipakai setiap hari di samping membawa cerita yang menyentuh emosi pemakainya.

Daripada mengejar trend semasa yang singkat, kami memilih untuk memfokuskan kepada rekaan abadi, kepelbagaian fungsi dan hubungan emosi yang mendalam.

Matlamat kami adalah untuk menghasilkan rekaan yang menjadi bahagian penting dalam lipatan sejarah hidup seseorang dan bukannya sekadar perhiasan di dalam gerobok pakaian. – UTUSAN

Scroll to Top