PETALING JAYA: MyDCD Berhad (MyDCD) menyasarkan untuk mengumpul hasil kasar sebanyak RM268.80 juta menerusi Tawaran Awam Permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) pada 17 November ini.
IPO itu melibatkan penerbitan dan tawaran sebanyak 480 juta saham biasa pada harga 56 sen sesaham.
Daripada jumlah itu, sebanyak 335 juta saham biasa baharu diterbitkan yang dijangka meraih hasil kasar RM187.60 juta untuk syarikat, manakala 145 juta saham sedia ada ditawarkan menerusi penempatan persendirian dengan hasil kasar RM81.20 juta akan diterima sepenuhnya oleh pemegang saham yang menjual.
Memuatkan artikel berkaitan…
Ketua Pegawai Eksekutif MyDCD, Chris Ow Yong berkata, pusat data semakin penting apabila perniagaan dan ekonomi semakin bergantung kepada infrastruktur digital.
Katanya, MyDCD telah berkecimpung dalam industri ini selama bertahun-tahun dengan pengalaman merangkumi projek pusat data daripada klasifikasi Tier I hingga Tier IV.
“Skop kerja kami merangkumi proses integrasi sistem mekanikal, elektrikal, perpaipan dan perlindungan kebakaran (MEPF), daripada sokongan kejuruteraan, pembekalan dan pemasangan sehingga pengujian dan pentauliahan.
“Pengalaman merentasi pelbagai industri dan jenis projek membolehkan kami membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan utama, dengan sebahagiannya terjalin sejak kira-kira 15 tahun lalu.
“Apabila keperluan projek semakin mencabar, keupayaan teknikal, tenaga kerja berpengalaman dan modal kerja yang mencukupi menjadi semakin penting.
“Hasil IPO akan membantu kami memenuhi keperluan itu dengan menyokong pelaksanaan projek termasuk bon pelaksanaan, selain memperkukuh pasukan dan meningkatkan sistem bagi menyokong pertumbuhan berterusan,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 1.794 bilion saham dan harga IPO 56 sen sesaham, MyDCD dijangka mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM1 bilion selepas disenaraikan.
Saham syarikat itu turut diklasifikasikan sebagai patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Daripada RM187.60 juta hasil kasar yang bakal diperoleh MyDCD menerusi terbitan awam, sebanyak 71.43 peratus atau RM134 juta diperuntukkan bagi keperluan modal kerja, terutamanya untuk menyokong pelaksanaan projek dan membiayai bon pelaksanaan.
Sebanyak 21.27 peratus atau RM39.90 juta pula akan digunakan untuk mengembangkan operasi perniagaan menerusi pengambilan kakitangan tambahan, penyewaan ruang pejabat baharu dan latihan kakitangan.
Sebanyak 2.66 peratus atau RM5 juta diperuntukkan untuk menaik taraf sistem teknologi maklumat (IT), manakala baki hasil akan digunakan bagi membiayai perbelanjaan penyenaraian.
Beliau berkata, peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) meningkatkan permintaan pusat data terhadap kuasa pengkomputeran, sistem penyejukan dan pengurusan tenaga, sekali gus menjadikan sistem MEPF semakin penting.
“Bagi MyDCD, kami kekal memberi tumpuan untuk memanfaatkan pengalaman sedia ada dan memperkukuh keupayaan pelaksanaan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang terus berkembang serta merebut peluang seiring perkembangan industri,” katanya.
TA Securities Holdings Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi IPO berkenaan. – UTUSAN




